35 mangsa ditahan depoh imigresen Kemboja pulang

35 mangsa ditahan depoh imigresen Kemboja pulang 

SEBAHAGIAN daripada mangsa jenayah penipuan pekerjaan selamat tiba dari Kemboja di KLIA. - IHSAN WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 35  mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan warga Malaysia di Kemboja berjaya dibawa balik ke tanah air menerusi dua penerbangan semalam.

 Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, kejayaan tersebut menyaksikan tiada lagi rakyat Malaysia berada dalam depoh tahanan imigresen negara berkenaan setakat ini.

 “Seramai 28 orang menaiki pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH755 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 2 petang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

 Sementara itu ujar beliau, kumpulan kedua pula yang melibatkan baki tujuh orang lagi menaiki pesawat Air Asia penerbangan AK539 dan mereka mendarat di KLIA2 pukul 5.35 petang.

 Usaha bagi membawa pulang semua mangsa tersebut katanya, merupakan kejayaan terbesar yang dilaksanakan pihak Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh.

 Sehingga semalam, kementerian berkenaan sudah berjaya menyelesaikan 220 kes jenayah penipuan itu dari Kemboja namun akan terus lagi memantau situasi dari semasa ke semasa sekali gus bersedia membantu sekiranya ada laporan terbaharu mengenai mangsa sindiket tersebut yang memerlukan bantuan daripada kedutaan.

 Kementerian Luar merakamkan terima kasih kepada kerajaan Kemboja selain penghargaan kepada pihak polis, Jabatan Imigresen Malaysia dan Malaysia Airports Holdings Berhad.

 “Pada masa sama, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Laos, Myanmar dan Thailand akan terus menggiatkan usaha pengesanan dan menyelamatkan warga Malaysia,” tambah beliau.

 Berdasarkan rekod semasa katanya, daripada keseluruhan 459 laporan yang diterima oleh Wisma Putra, seramai 324 orang mangsa di tiga negara itu sudah pun berjaya diselamatkan meliputi seramai 20 orang yang kini berada dalam depoh tahanan imigresen di ketiga-tiga negara tersebut atas kesalahan tiada rekod dokumentasi perjalanan.

 Pihak Kedutaan Besar Malaysia sedang bekerjasama dengan kerajaan negara berkenaan bagi mengesan seramai 135 orang lagi yang dilaporkan sebagai mangsa jenayah tersebut.

Saifuddin turut menasihatkan warga Malaysia supaya sentiasa berwaspada dengan tawaran pekerjaan menarik dari luar negara yang diterima terutamanya melalui platform media sosial.

 Mereka ujar beliau boleh berhubung dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di negara itu jika ada keraguan berhubung status kesahihan tawaran berkenaan agar tidak menjadi mangsa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.