PETALING JAYA: Hipertensi atau tekanan darah tinggi kekal sebagai ‘pembunuh senyap’ utama dalam kalangan rakyat Malaysia apabila ramai pesakit tidak menyedari mereka menghidap penyakit itu sehinggalah komplikasi serius mula berlaku.
Keadaan ini sering berakhir dengan kerosakan organ seperti jantung dan buah pinggang, selain meningkatkan risiko kegagalan sistem tubuh yang boleh mengancam nyawa jika tidak dikesan dan dirawat lebih awal.
Sempena Hari Hipertensi Sedunia 2026 bertemakan “Mengawal Hipertensi Bersama!”, pakar perubatan memberi amaran bahawa tekanan darah tinggi kini menjadi antara penyumbang utama kepada beban penyakit kronik negara.
Menurut Pakar Perunding Kardiologi Intervensi, Dr Chua Ping Lik, hipertensi ialah pembunuh senyap utama kerana ia sering tidak menunjukkan simptom klinikal yang ketara, sedangkan ia secara perlahan merosakkan integriti struktur dinding arteri kita.
“Keadaan itu menjadi lebih membimbangkan apabila Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati hampir satu daripada tiga orang dewasa di Malaysia menghidap hipertensi, iaitu sekitar 29.2 peratus, manakala 11.9 peratus daripadanya masih tidak didiagnosis,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, kekurangan diagnosis awal menyebabkan ramai pesakit hanya mengetahui keadaan mereka selepas komplikasi berlaku pada tahap serius.
“Apabila kerosakan bermula, ia tidak berlaku secara tiba-tiba. Tekanan darah yang tinggi secara berterusan akan merosakkan salur darah secara perlahan, dan akhirnya menjejaskan fungsi jantung serta buah pinggang,” katanya.
Dr. Chua berkata, tekanan darah tinggi turut berada di tengah rangkaian penyakit Kardio-Renal-Metabolik (CRM) yang merangkumi penyakit jantung, penyakit buah pinggang kronik (CKD), diabetes jenis 2 dan obesiti yang saling berkait serta mempercepatkan kemerosotan kesihatan pesakit.
Di Malaysia, peningkatan kes diabetes dan obesiti turut menyumbang kepada cabaran pengurusan hipertensi, sekali gus menambah tekanan kepada sistem kesihatan awam.
“Apabila tekanan darah tidak terkawal, ia mempercepatkan kerosakan salur darah dan meningkatkan beban kepada organ penting seperti jantung dan buah pinggang. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh membawa kepada komplikasi serius yang sukar dipulihkan,” katanya.
Menurut beliau, pengesanan awal memainkan peranan penting dalam mengelakkan komplikasi besar seperti serangan jantung, strok dan kegagalan buah pinggang tahap akhir, selain membantu pesakit mengekalkan kualiti hidup yang lebih baik.
“Dengan mengenal pasti hipertensi lebih awal, kita boleh mengawal keadaan melalui perubahan gaya hidup, pengurusan tekanan dan rawatan yang sesuai sebelum ia menjadi lebih teruk,” katanya.
Dr. Chua berkata, kawalan tekanan darah yang baik bukan sahaja mengurangkan risiko komplikasi fizikal, malah membolehkan pesakit meneruskan kehidupan harian tanpa gangguan kesihatan yang serius.
Dalam masa sama, beliau berkata, farmasi komuniti boleh memainkan peranan penting sebagai pusat saringan awal yang mudah diakses oleh orang ramai tanpa perlu temu janji.
“Farmasi runcit merupakan antara tempat paling mudah untuk mendapatkan pemeriksaan tekanan darah secara ‘walk-in’. Ini membantu pengesanan awal dilakukan lebih cepat dan lebih dekat dengan komuniti.
“Farmasi komuniti kini semakin dilengkapi dengan saringan kesihatan bersepadu termasuk tekanan darah, glukosa darah dan indeks jisim badan (BMI), bagi memberi gambaran lebih menyeluruh tentang risiko kesihatan individu,” katanya.
Menurutnya, hipertensi sering berkembang tanpa gejala pada peringkat awal, namun kesannya terhadap organ penting boleh menjadi serius jika tidak dikawal.
Beliau turut menyarankan orang ramai khususnya mereka yang berusia 30 tahun ke atas, mempunyai sejarah keluarga penyakit jantung atau menghidap diabetes supaya melakukan saringan berkala.
“Jangan tunggu sehingga penyakit ini menunjukkan kesannya melalui krisis. Langkah paling penting adalah melakukan pemeriksaan kesihatan lebih awal,” katanya. – UTUSAN










