Rakyat Malaysia dipenjara empat tahun di Jepun

Rakyat Malaysia dipenjara empat tahun di Jepun

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Muhammad Faiq Zafran Mohd. Jailani, 24, yang ditahan di Toyamanishi, Jepun, dijatuhkan hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Rendah Toyama semalam.

Peguam yang dilantik keluarganya, Datuk Noor Svetlana Mohd. Noor Nordin berkata, hukuman tersebut dikenakan bagi tiga pertuduhan dan dilaksanakan secara serentak bermula tarikh tangkapannya pada 18 November 2025.

Katanya, ini menjadikan tempoh hukuman sebenar Muhammad Faiq Zafran berkurangan kepada tiga tahun sembilan bulan.

“Bagaimanapun, kita akan memasukkan notis rayuan ke Mahkamah Tinggi untuk proses seterusnya.

“Kita juga berharap ada keajaiban untuk beliau memandangkan terdapat peruntukan hukuman yang boleh digantung mengikut Artikel 25 Kanun Keseksaan Jepun iaitu Muhammad Faiq Zafran ini boleh balik ke Malaysia, tetapi dengan bersyarat,” katanya ketika siaran langsung di TikTok sebaik selesai perbicaraan.

Kelmarin, Noor Svetlana bersama bapa mangsa, Mohd. Jailani ke Jepun buat kali kedua bagi menghadiri dan mendengar keputusan perbicaraan terhadap Muhammad Faiq Zafran.

Media sebelum ini melaporkan, Faiq yang berlepas ke Jepun pada November lalu dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di negara itu sebelum ditahan di Toyama.

Terdapat juga maklumat tidak tepat berhubung penahanannya, termasuk laporan awal yang mendakwa dia ditahan bersama wang dan emas bernilai kira-kira RM500,000.

Faiq disiasat pada November lalu mengikut Artikel 246(1) Kanun Keseksaan Jepun berkaitan penipuan serta Artikel 60 kanun sama bagi kesalahan dilakukan secara bersama yang hampir sama dengan Seksyen 420 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan Malaysia.

Noor Svetlana berkata, semalam merupakan kali pertama bapa Faiq dapat bercakap dengannya menerusi jurubahasa.

“Jadi, apa pun kita berharap ada keajaiban berlaku dan dia akan dikenakan hukuman bon berkelakuan baik serta pembebasan bersyarat.

“Ini kerana dia bukan pengatur utama, sebaliknya terpedaya dan naif mempercayai rakannya, justeru diharap hukuman yang dikenakan lebih ringan.

“Artikel 25 Kanun Keseksaan Jepun adalah mirip kepada gantung pelaksanaan hukuman di Malaysia, tetapi membolehkan pulang ke negara asal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN