146,737 anggota ATM undi awal, sebahagian pengundi pos

146,737 anggota ATM undi awal, sebahagian pengundi pos

PROSES pengundian awal PRU15 diadakan pada 15 November ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Sebanyak 146,737 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan yang berdaftar sebagai pengundi awal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan mengundi Selasa ini di 153 pusat pengundian yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, bagaimanapun proses pengundian bagi anggota yang didaftarkan sebagai Pengundi Pos telah bermula 7 November lalu sehingga 19 November ini sebelum pukul 5 petang setelah menerima Sampul Keutamaan Kertas Undi Pos (SKKUP) yang dikeluarkan oleh Pegawai Pengurus bagi sesuatu bahagian pilihan raya.

“Adalah menjadi harapan ATM agar proses pengundian berkenaan berjalan dengan lancar bagi membolehkan setiap anggota dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi yang sah sepertimana rakyat Malaysia yang lain.

“ATM juga sentiasa menyokong proses dan Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

“Atas kesetiaan kepada  Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong juga, warga ATM sentiasa berpegang kepada norma-norma integriti di dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab demi kesejahteraan negara,” katanya di dalam satu kenyataan.

Affendi berkata, ATM akan memberi fokus utama dalam memperkasa kesiapsiagaan Angkatan demi melindungi kepentingan dan kedaulatan negara pada sebilang masa.

“Apatah lagi, ketika negara kini telah mula memasuki Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang bermula sejak 7 November lalu dan dijangka berlarutan sehingga Mac 2023.

“ATM kini telah pun bersiap siaga dan bersedia mengatur gerak aset jika berlakunya banjir terutama di negeri-negeri yang berisiko terjejas dengan bencana tersebut,” katanya.

Tambahnya, ATM juga bersedia menghulurkan bantuan kepada SPR, pihak berkuasa tempatan dan pihak awam menjelang hari mengundi PRU15 pada 19 November ini.

“Ini dalam memastikan perjalanan proses pengundian di seluruh negara berjalan dengan lancar. Pada masa sama ia bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara daripada sebarang kemungkinan yang tidak diingini sepanjang proses pengundian serta apabila keputusan pilihan raya diumumkan kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.