KUALA LUMPUR : Wanita Ikon Selangor 2022, Datin Rita Sosilawati menggesa kaum wanita untuk meningkatkan kefahaman tentang kesihatan psiko sosial terutama bagi yang telah berumah tangga.
Menurut Rita, kefahaman tentang aspek ini perlu kerana masih ramai lagi kaum wanita dan masyarakat yang tidak tahu atau keliru dengan hak individu terutama dari sudut perundangan syariah.
“Contohnya macam isu kaum isteri yang dizalimi suami. Isu ini antara yang cuba saya ketengahkan dan telah sekian lama wujud dalam masyarakat. Ia masih berlaku, malah lebih meruncing pada masa kini.
“Tambahan pula ketika negara diduga dengan Covid-19, kes-kes kepincangan kekeluargaan acap kali menjadi topik utama di media massa. Kes-kes sebegini memberi impak yang besar terhadap kesihatan psiko-sosial.
“Atas dasar itu, saya mengambil inisiatif serta menggunakan platform sebagai Wanita Ikon Selangor 2022 untuk menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan menganjurkan program Literasi Undang-undang Syariah: Menganiaya Isteri Menzalimi Suami Are You Okay.
“Ia juga selaras dengan salah satu advokasi yang saya perjuangkan sebagai Wanita Ikon Selangor 2022, iaitu untuk memperkasa kesihatan psiko-sosial terutamanya di kalangan wanita,”katanya.

Terdahulu, program tersebut telah diadakan di Bangunan Niosh Auditorial, Bandar Baru Bangi, kelmarin.
Turut hadir adalah Presiden PGSM,Musa Awang dan panel forum jemputan, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain, Datuk Hazizah Kassim dan Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa.
Selain itu, Rita berpendapat, segelintir wanita juga cenderung untuk mendiamkan diri atau takut untuk bersuara jika berdepan dengan situasi getir dalam rumah tangga.
“Ramai wanita masa kini lebih berani dan matang dalam mengendalikan situasi apabila menjadi mangsa kezaliman suami. Namun, terdapat juga segelintir yang masih tidak tahu ke mana arah yang hendak dituju apabila berhadapan situasi sebegini.
“Maka dengan itu, program-program literasi seperti ini perlu disebarluaskan agar mereka yang menjadi mangsa tahu akan kewujudan ‘support system’ yang baik serta boleh membantu mereka menyelesaikan masalah.
“Saya juga bersyukur dan teruja apabila program yang dianjurkan ini mendapat sambutan hangat, terutama dari pihak NGO serta orang perseorangan. Klinik guaman syarie turut disediakan pada sesi tersebut dan dikendalikan oleh para peguam profesional. Ada juga yang sediakan khidmat secara percuma untuk mereka yang berkelayakan,”katanya.
Dalam pada itu, kata Rita, pihaknya juga merancang untuk mengadakan lebih banyak program seumpamanya pada masa akan datang bagi meningkatkan kesedaran berkaitan kesihatan psiko-sosial.










