130 penjawat awam terima notis buang sampah

130 penjawat awam terima notis buang sampah

ANTARA pesalah di Putrajaya yang sedang melaksanakan kerja pembersihan di sekitar Presint 2, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 130 penjawat awam daripada pelbagai agensi antara individu yang dikenakan Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) kerana membuang sampah di tempat awam.

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, jumlah itu melibatkan 48 peratus daripada kumpulan pelaksana, 35 peratus sektor keselamatan dan beruniform serta 15 peratus kumpulan pengurusan dan profesional.

Katanya, secara keseluruhan sebanyak 4,693 NPK telah dikeluarkan di tujuh negeri melibatkan 3,468 warganegara tempatan dan 1,225 warga asing.

Menurutnya, pendekatan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bukan sekadar hukuman, sebaliknya bertujuan mendidik pesalah supaya lebih memahami kesan perbuatan mereka terhadap kebersihan persekitaran.

“Ia memberi ruang kepada pesalah untuk melihat sendiri kesan tindakan mereka terhadap persekitaran, sekali gus membentuk kesedaran yang lebih mendalam terhadap tanggungjawab sivik.

“Pendekatan ini bukan sahaja membentuk semula pesalah, malah menjadi peringatan kepada masyarakat bahawa setiap tindakan mempunyai kesan terhadap persekitaran,” katanya dalam sidang akhbar pelaksanaan PKM Siri Ketujuh di sini hari ini.

Menurutnya, seramai 105 pesalah telah disabitkan oleh mahkamah untuk menjalani PKM dengan tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan kawasan awam sebagai medium pembentukan semula nilai dan tanggungjawab sivik.

Tambahnya, PKM dilaksanakan secara serentak di seluruh negara melibatkan tujuh negeri iaitu Pahang, Perlis, Kedah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.

“Mereka akan melaksanakan kerja-kerja pembersihan melibatkan siar kaki, jalan, sistem saliran serta tandas awam dalam persekitaran sebenar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai sembilan individu telah dijatuhi hukuman PKM oleh mahkamah bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan awam.

Sementara itu, seramai 10 individu berusia bawah 18 tahun turut dikenal pasti antara penerima NPK, dengan usia paling muda direkodkan sekitar 14 tahun.

Golongan itu didapati melakukan kesalahan kecil seperti membuang sampah di tempat awam termasuk kotak, botol minuman dan tisu, namun kes mereka dikendalikan mengikut prosedur khas apabila mahkamah menyerahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut serta modul pemulihan bersesuaian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN