Aidilfitri As Saadi satukan generasi serumpun

Aidilfitri As Saadi satukan generasi serumpun

SAPAAN 'dari rumpun mana?' menjadi pembuka bicara, sekaligus mencetuskan perbualan panjang tentang salasilah keluarga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Suasana ceria dan penuh gelak tawa jelas terasa dalam Majlis Aidilfitri As Saadi 2026 yang berlangsung di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian & Resort.

Dengan tema “Sejahtera Serumpun”, pertemuan ini bukan sekadar jamuan raya biasa, tetapi menjadi ruang santai untuk keluarga besar AsSaadi kembali berkenalan, berkongsi cerita dan mengeratkan hubungan yang mungkin sudah lama terpisah.

Seawal pagi, dewan mula dipenuhi dengan ahli keluarga yang hadir dengan busana raya berwarna-warni.

Ada yang pertama kali bertemu, ada juga yang sudah lama tidak bersua muka. Namun, suasana kekok cepat hilang apabila sesi ramah mesra dimulakan.

Sapaan “dari rumpun mana?” menjadi pembuka bicara, sekaligus mencetuskan perbualan panjang tentang salasilah keluarga.

Pengerusi Persatuan Famili As Saadi (PFA), Ir. Fuad Abas berkata, penubuhan persatuan ini bertujuan mengumpulkan semua keturunan daripada Saad yang berasal dari Hadhramaut, Yemen, seterusnya merapatkan hubungan kekeluargaan yang semakin jauh akibat peredaran masa.

Katanya, kini keturunan tersebut telah berkembang sehingga generasi ketujuh dan kelapan, dengan sebahagian besar dahulu tertumpu di Kedah sebelum berhijrah ke negeri-negeri lain seperti Selangor.

“Melalui persatuan ini, kita ingin melaksanakan konsep ta’aruf, supaya ahli keluarga dapat saling mengenali dan mengukuhkan silaturahim,” jelasnya.

Antara yang paling mencuri perhatian ialah aktiviti “Menjejak Kasih As Saadi”, di mana setiap rumpun perlu mencari dan melengkapkan susur galur keluarga.

Aktiviti ini bukan sahaja menghiburkan, malah membuka peluang kepada generasi muda untuk mengenali pakcik, makcik dan sepupu yang sebelum ini hanya dikenali melalui cerita.

“Baru tahu rupanya kami satu rumpun, sebelum ini tak pernah jumpa pun,” kata salah seorang peserta.

Selain itu, pelbagai aktiviti santai turut memeriahkan majlis seperti demonstrasi masakan, jualan produk usahawan keluarga serta peragaan busana Melayu kontemporari yang menampilkan keindahan pakaian tradisional seperti kebaya dan baju kurung.

Tidak ketinggalan, ruang foto menjadi lokasi wajib untuk merakam kenangan bersama keluarga tersayang.

Menariknya, majlis ini turut diserikan dengan kehadiran cef terkenal, Cef Dr. Liza Zainol, yang juga merupakan sebahagian daripada rumpun AsSaadi.

Beliau mengadakan demonstrasi masakan secara langsung yang berjaya menarik perhatian ramai.

Para tetamu bukan sahaja dapat menyaksikan kepakaran beliau, malah turut mempelajari tip dan teknik memasak dalam suasana santai.

Aroma hidangan yang disediakan menambahkan lagi kemeriahan majlis, menjadikan sesi ini antara tarikan utama sepanjang program berlangsung.

Lebih bermakna, majlis ini turut menyatukan pelbagai latar belakang ahli keluarga daripada yang menetap di kampung hinggalah yang berjaya dalam kerjaya profesional.

Malah menurut Penaung Persatuan Famili As Saadi (PFA), Datuk Dr. Mohamad Guntur Mansor Tobeng, kekuatan sebenar keluarga ini terletak pada jaringan luas ahlinya yang merangkumi pelbagai bidang seperti akademik, keusahawanan dan sektor profesional.

Beliau menegaskan bahawa kekuatan ini perlu dimanfaatkan untuk membantu ahli keluarga yang kurang berkemampuan, termasuk dalam aspek pendidikan.

“Kita tidak mahu ada mana-mana ahli keluarga yang tercicir atau terpinggir. Yang berkemampuan perlu membantu yang kurang bernasib baik, kerana inilah tanggungjawab kita bersama sebagai satu keluarga,” katanya.

Tambahnya lagi, persatuan kini sedang giat mengumpulkan dana bagi membantu ahli keluarga yang memerlukan, khususnya mereka yang mendapat tawaran ke universiti tetapi berdepan kekangan kewangan.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru ahli keluarga yang berkemampuan agar tampil menghulurkan sumbangan, sambil menegaskan bahawa setiap sumbangan, walaupun dalam jumlah yang kecil, tetap membawa makna besar dan mampu memberi impak jangka panjang kepada pembangunan serta masa depan generasi keluarga akan datang.

Dalam suasana inilah, jurang tersebut dirapatkan, menjadikan semua duduk sama rendah, berdiri sama tinggi sebagai satu keluarga.

Majlis ini membuktikan bahawa dalam kesibukan dunia moden, waktu seperti ini amat penting untuk menghidupkan kembali nilai kekeluargaan. Bukan sekadar berkumpul, tetapi benar-benar mengenali dan menghargai antara satu sama lain.

Akhirnya, yang dibawa pulang bukan hanya gambar kenangan, tetapi juga rasa kebersamaan yang lebih kuat bahawa walau dari mana pun datangnya, mereka tetap satu keluarga AsSaadi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN