Jangan terlalu cepat label artis sombong - Fareez Fauzi - Utusan Malaysia

Jangan terlalu cepat label artis sombong – Fareez Fauzi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pelakon, Fareez Fauzi menasihati orang ramai agar tidak terlalu cepat melabel seseorang sebagai sombong hanya berdasarkan pertemuan singkat, susulan trend segelintir selebriti dikritik bersikap sedemikian.

Menurut Fareez, ada dalam kalangan artis yang sebenarnya bukan bersikap sombong, sebaliknya memiliki personaliti introvert dan kurang selesa bergaul secara terbuka.

“Saya berpandangan, ada segelintir artis yang bukan sombong, sebaliknya mungkin bersifat introvert. Netizen tidak boleh terlalu cepat menghakimi tanpa mengenali mereka secara dekat.

“Saya sendiri, jika berada di luar, memang akan senyum kepada sesiapa sahaja. Cuma ada ketika saya tidak nampak kerana rabun jauh.

“Mungkin ada juga artis lain yang melalui situasi sama, bukan sombong tetapi tidak perasan kehadiran orang di sekeliling,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya dan Rumah Terbuka JessC yang berlangsung di Shah Alam, baru-baru ini.

Tambah juara Mentor Milenia 2016 itu, masyarakat hari ini dilihat semakin gemar mengambil tahu hal peribadi orang lain, khususnya menerusi media sosial sehingga ada kalanya melangkaui batas.

“Zaman sekarang, ramai yang suka ambil kisah tentang kehidupan orang lain. Bagi saya secara peribadi, netizen boleh sahaja bercakap tentang saya, tetapi jangan sentuh keluarga. Itu sudah melampau.

“Sepanjang saya bergelar artis, tidak pernah peminat mengatakan saya sombong. Cuma pernah sekali, seorang sahaja pernah panggil saya sombong iaitu arwah Saleem. Hakikatnya ketika itu memang saya tidak nampak,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Fareez memaklumkan fokus utamanya ketika ini lebih tertumpu kepada bidang lakonan, namun kerjaya nyanyian tetap diteruskan seperti biasa.

Katanya, minat terhadap nyanyian masih kuat meskipun komitmen dalam bidang lakonan semakin bertambah.

“Fokus saya sekarang adalah lakonan, tetapi nyanyian tetap menjadi minat dan saya akan teruskan.

“Insya-Allah, ada sebuah filem baharu yang akan ditayangkan tahun ini, mengangkat tema buli.

“Untuk nyanyian, saya masih menerima undangan membuat persembahan, cuma tidak sekerap dahulu kerana komitmen terhadap lakonan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN