PETALING JAYA: Seorang wanita ditahan selepas dipercayai terlibat dalam penipuan berhubung penganjuran konsert melibatkan beberapa artis popular.
Penahanan wanita berusia 48 tahun itu dilakukan di sekitar Klang kira-kira pukul 10.40 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita itu dikatakan memuat naik hantaran mengenai penganjuran konsert membabitkan artis terkemuka walhal konsert berkenaan tidak wujud.
Kata beliau, perbuatan wanita itu mula dikesan apabila seorang penyanyi ‘rock’ tanah air berumur 53 mendapat maklumat daripada rakannya bahawa terdapat terdapat satu hantaran di Facebook mempromosikan sebuah konsert yang dijadualkan berlangsung pada 4 Februari depan di Kota Kinabalu, Sabah.
“Suspek menawarkan penjualan tiket konsert berharga RM199 hingga RM649. Penyanyi itu menafikan ada ditawarkan atau menandatangani sebarang kontrak untuk menyertai konsert berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu tular dalam media sosial satu poster konsert bertajuk Unplugged Living Legend yang memaparkan artis popular tanah air seperti Datuk Awie, Ziana Zain, Ella dan Erra Fazira selain vokalis kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani, yang akan diadakan di Sabah tahun hadapan. – UTUSAN










