PUTRAJAYA: Selepas hampir 40 tahun ditubuhkan, pakaian seragam rasmi anggota dan pegawai penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) seluruh negara akan tampil lebih garang setanding pasukan penguatkuasaan lain.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu antara pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan membayangkan imej baharu uniform itu seperti pasukan polis dengan tema warna biru gelap.
“Perkara ini juga antara yang akan saya sentuh ketika membentangkan rang undang-undang pindaan akta itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Yayasan Strategik Lestari (YSL) diasaskan beliau dan Prof. Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri yang juga Pengerusi TV AlHijrah di sini malam tadi.
Beliau turut menerima sumbangan daripada beberapa badan korporat tempatan dan disaksikan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YSL, Prof. Datuk Dr. Mohd. Yakub Mohd. Yusoff.
JAS ditubuhkan oleh kerajaan pada 1 September 1983 lalu bagi penguatkuasaan akta berkenaan dan pelbagai lagi peraturan alam sekeliling serta Dasar Alam Sekitar Negara 2002.
Ketika ini, uniform penguat kuasa JAS berbentuk ‘bush jacket’ dengan berwarna hijau emerald yang sering disalah tafsir masyarakat awam seolah-olah baju juruteknik dari kilang elektronik.
Tuan Ibrahim berkata, pindaan akta itu turut merangkumi penambahan hukuman denda dan penjara lebih berat kepada pelaku kesalahan selain memperhebatkan aspek penguatkuasaan termasuk penggunaan teknologi terkini seperti dron bagi pemantauan awal dan penjejakan kes.
Kementerian tersebut jelas beliau, turut akan memohon pertambahan petugas penguatkuasaan dan pejabat JAS yang ketika ini dianggap masih kurang dengan liputan kawasan tidak luas.
Usaha ini kata Tuan Ibrahim, termasuk penubuhan pejabat JAS di banyak daerah agar staf dapat bertindak lebih pantas sebaik menerima aduan atau maklumat pencemaran alam sekitar. – UTUSAN