Henti penipuan pakej jemaah haji

Henti penipuan pakej jemaah haji

PENIPUAN dan penganiayaan bukan sahaja menyusahkan dan mendatangkan trauma kepada mangsa, malah mencemarkan imej Malaysia sebagai negara dengan pengurusan haji terbaik dan dikagumi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA terkejut membaca laporan bagaimana 47 jemaah warga emas Malaysia ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.

Walaupun mangsa-mangsa penipuan tersebut tidak ada kaitan hubungan dengan saya, tetapi membaca laporan mengenai pelbagai kesukaran dirasai oleh mangsa-mangsa itu, terasa sekali ia seolah-olah melibatkan adik beradik saya.

Lebih terasa geram apabila laporan tersebut memaklumkan penipuan itu dilakukan seorang agamawan terkenal.

Sebaik sahaja tiba di Jeddah, mangsa-mangsa terbabit tidak boleh masuk ke Mekah susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tidak mempunyai visa haji.

Justeru mereka yang terpedaya dengan janji manis ejen berkenaan mendakwa berdepan realiti kejam apabila dipaksa berjalan kaki tanpa dokumen meredah laluan berbahaya untuk ke Mekah.

Mereka diminta berjalan kaki meredah bukit berbatu, padang pasir melintasi lebuh raya, melepasi pagar dawai dan kawasan terpencil tanpa sebarang pengawasan atau perlindungan keselamatan untuk sampai ke Mekah.

Mereka hanya membawa keperluan asas tanpa makanan dan minuman, manakala bagasi ditinggalkan di beberapa tempat.

Para jemaah warga emas itu juga dibahagikan dalam kumpulan kecil untuk berjalan kaki bagi mengelak dikesan malah mereka tidak ditemani lapan wakil ejen yang mengiringi mereka serta tanpa apa-apa taklimat keselamatan.

Ini sangat mengecewakan susulan majoriti warga emas berkenaan sudah membayar lebih RM30,000 seorang bagi memenuhi hasrat mengerjakan ibadah haji bersama ejen berkenaan.

Semua jemaah ditempatkan di sebuah penginapan di Mekah sebelum diarahkan untuk tidak keluar langsung dan diminta duduk berhimpit dalam sebuah bilik sempit, bagi mengelak dikesan pihak berkuasa Arab Saudi.

Ada jemaah yang cuba melarikan diri, namun mereka tidak tahu ke mana hendak dituju selain tiada dokumen yang sah serta tiada pengetahuan mengenai lokasi sekitar, menyebabkan para jemaah akhirnya membatalkan rancangan itu.

Namun, dalam perjalanan jemaah menuju ke Arafah, mereka akhirnya ditahan selepas dikesan pihak berkuasa Arab Saudi.

Ejen memaklumkan kepada semua jemaah, jika rombongan ditahan pihak berkuasa, mereka hanya perlu mendiamkan diri dan menyatakan datang secara individu tanpa dibawa sesiapa.

Semua jemaah dan ejen yang mengiringi ditahan hampir seharian di dalam bas  sebelum akhirnya dilepaskan berikutan Malaysia mempunyai rekod jemaah haji yang baik, tetapi diarahkan terus meninggalkan Arab Saudi serta-merta.

Anak jemaah tersebut berkata, beliau membuat laporan polis ekoran insiden yang berlaku itu. 

Para jemaah berkenaan bukan sahaja tidak dapat menunaikan ibadah haji malah wang yang dibayar kepada ejen juga hangus begitu sahaja.

Sehubungan itu sebagai seorang insan yang bersimpati terhadap apa yang berlaku, saya berharap pihak berkenaan segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang terlibat.

Saya bersetuju dengan pandangan anak mangsa terbabit yang penipuan itu bukan sahaja menyusahkan  mendatangkan trauma kepada mangsa, malah mencemarkan imej Malaysia sebagai negara dengan pengurusan haji terbaik dan dikagumi.

Dimaklumkan semua 47 jemaah mangsa penipuan berkenaan selamat pulang ke Malaysia melalui Turkiye.-UTUSAN

 

TEROPONG ANAK PERLIS

Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×