Jangan biarkan Ukraine terus derita dibedal Russia

Jangan biarkan Ukraine terus derita dibedal Russia

GERAKAN solidariti Ukraine masih tidak berhenti menyatakan sokongan dan mahu masyarakat antarabangsa membuka mata tentang kejadian di negara itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI tengah kemelut perang yang tidak berkesudahan, dengan genosid, penculikan, dan penderaan yang tiada berpenghujung menyelubungi bumi Ukraine, kedengaran tangisan dan jeritan rakyatnya yang meratapi penderitaan serta menanggung keperitan. Serangan bertali arus, sama ada dari darat mahupun udara, terus dilancarkan oleh tentera Russia tanpa henti.

Bayangkan rakyat Ukraine dapat hidup aman damai selama 21 tahun dari 1991 sehingga 2012  sebelum dirampas dan dilenyapkan dek kejahatan Ukraine pro-Viktor Yanukovych dan Russia pada 2014. Kemudian berdepan pula Perang Ukraine-Russia Pertama diikuti Perang Ukraine-Russia 2022 hingga sekarang.

Kini hanya dentuman bom, peluru berpandu, senjata kecil dan berat menjadi rutin yang mengejutkan mereka dari tidur. Nyawa mereka bila-bila masa menjadi sasaran kekejaman tidak berpenghujung tanpa mengira siapa sahaja baik lelaki atau wanita.

Rakyat Ukraine hanya diberi dua pilihan, sama ada diburu peluru atau dibiar menderita. Tiada talian hayat atau tiada imuniti. Mereka cuma ada satu sahaja jalan terakhir iaitu bangkit kerana ini tanah berdaulat maka tidak sesekali Ukraine menyerah begitu sahaja tanpa bermaruah. Mereka perlu berani mempertahankan dengan keringat, titisan darah untuk negara

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy masih merayu kepada semua masyarakat dunia dan negara-negara lain agar bersama Ukraine untuk menentang kezaliman Russia selama sedekad, tanpa mengira latar belakang, ideologi, agama serta tanpa rasa berat sebelah. 

Kenyataan ini sering diulang-ulang menunjukkan Ukraine masih perlukan sokongan penuh dari pelbagai sumber seperti kewangan, ubat-ubatan, senjata, aset tempur dan seumpamanya.

Bagi negara yang menyokong atau tidak perjuangan perlu mengheret Russia ke muka pengadilan atas perbuatan terkutuk itu. Bagaimanapun tidak semua negara dapat memenuhi permintaan itu ekoran mempunyai masalah dalaman dan ada juga berpihak berkecuali seperti Malaysia selain terdapat negara Islam yang lebih mencampuri konflik di Palestin. 

Dalam pada itu, gerakan solidariti Ukraine masih tidak berhenti malah terus menyuarakan solidariti kepada masyarakat antarabangsa supaya mereka membuka mata tentang apa terjadi serta memboikot terhadap negara terbabit.

Difahamkan ramai warga asing menyerertai Legion Antarabangsa Ukraine sebagai tindak balas solidariti untuk menentang kezaliman Russia. Ada juga terlibat dalam sukarelawan kemanusiaan bagi membantu mangsa perang.

Solidariti tidak hanya tertumpu mengangkat senjata dan bantuan kemanusiaan sahaja malah media sosial, media cetak sebagai platform medium perlu bersuara tentang perang di Ukraine. Misalnya boleh menulis berbentuk rencana, sastera dan sebagainya. 

Akhir sekali, kita perlu bersatu atas kemanusiaan, solidariti demi Ukraine, juga jangan membezakan  sesebuah negara hanya atas alasan perbezaan agama.

Sedangkan, kita sepatutnya bersama Ukraine yang sedang menderita, bukan sekadar menjadi penonton atau bersorak. 

Jadi, gunakan peluang yang ada untuk tunjuk kebulatan hati kita bagi bersama-sama menentang kezaliman, kekejaman Russia  sejak sekian lama. Jika anda boleh melawan dan mengatakan tidak kepada Israel, kenapa tidak buat perkara sama untuk lawan Russia.-UTUSAN

 

AKTIVIS UKRAINE

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×