INSTITUT Waqf Nasional (iWAQF) menzahirkan rasa amat sedih, kecewa dan bimbang terhadap pendedahan serius berkenaan dakwaan penyelewengan harta wakaf Kolej Islam Malaya (KIM) yang dianggarkan mencecah hampir RM10 bilion, seperti dilaporkan media pada 13 Jun, lalu.
Pendedahan tersebut menggambarkan pengkhianatan besar terhadap amanah wakaf yang seharusnya dimanfaatkan untuk pembangunan pendidikan dan Islam di negara ini.
Isu ini bukan sahaja mencemarkan imej pengurusan wakaf di Malaysia, malah turut mencalar maruah institusi-institusi Islam yang bertanggungjawab memelihara integriti, ketelusan dan akauntabiliti.
Dakwaan aset wakaf disalahgunakan, termasuk dilaburkan dalam syarikat perjudian dan pemindahan hak milik secara tidak telus kepada pihak tertentu merupakan perkara yang amat serius dan tidak boleh dipandang ringan.
Sehubungan itu, sebagai sebuah institusi yang memperjuangkan pemerkasaan tadbir urus wakaf di Malaysia, iWAQF menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), dengan kerjasama Majlis Raja-Raja Melayu dan agensi berkaitan, bagi menyiasat secara menyeluruh sejarah, status semasa, serta pelupusan aset wakaf KIM sejak awal penubuhannya.
iWAQF turut menyeru masyarakat sivil, institusi agama, ahli akademik serta bekas pelajar kolej berkenaan untuk bersatu dan menyokong usaha menyelamatkan harta wakaf ini demi masa hadapan ummah. Wakaf adalah amanah suci yang tidak boleh digadai demi kepentingan individu atau kelompok tertentu.
Kami akan terus memantau perkembangan isu ini dan bersedia menawarkan kepakaran teknikal serta perundangan dalam usaha memperjuangkan kebenaran dan memulihkan aset wakaf KIM sesuai dengan maqasid dan tujuan asal pewakaf.-UTUSAN
INSTITUT WAQF NASIONAL (iWAQF)










