Ungguli empat anugerah, Ganjil wakili Malaysia pada AACA 2022 - Utusan Malaysia

Ungguli empat anugerah, Ganjil wakili Malaysia pada AACA 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Drama bersiri terbitan Razor’s Edge Pictures, Ganjil mencipta sejarah tersendiri apabila mengungguli empat anugerah pada peringkat nasional Asian Academy Creative Awards (AACA) 2022.

Empat kategori yang dimenangi drama arahan Yusry Abdul Halim itu termasuk, Drama Bersiri Terbaik, Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Kesan Khas Visual Terbaik.

Kemenangan itu melayakkan Ganjil bersaing dengan drama terbitan 14 negara Asia Pasifik lain pada Malam Gala AACA 2022 yang akan diadakan di Singapura pada 7 Disember depan.

Penerbit Eksekutif, Datuk Saniboey Mohd. Ismail ketika dihubungi berkata, dia tidak menyangka drama tersebut terpilih sebagai pemenang empat kategori AACA, apatah lagi mendapat saingan hebat daripada produksi lain.

“Sepanjang penyertaan, drama terbitan saya pernah menang dua kali pada peringkat nasional AACA iaitu Tulus Ikhlas untuk kategori Best Single Drama/Telemovie pada 2017 dan Drama Siri Terbaik menerusi Dosa pada 2018.

“Kali ini, sekali lagi ada rezeki menang menerusi Ganjil. Kemenangan kali ini bagaimanapun, lebih istimewa kerana kami merangkul empat kategori.

“Kami bangga kerana belum pernah ada mana-mana drama yang menang empat kategori dalam anugerah ini.

“Saya berharap masyarakat dapat mendoakan drama ini memberi saingan di Singapura untuk melayakkannya bertanding di peringkat Asia di Busan, Korea Selatan nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ganjil menampilkan lakonan hebat Fattah Amin, Diana Danielle, Izzue Islam dan Fatin Afeefa.

Sementara itu, Saniboey memaklumkan keampuhan jalan cerita menjadi kekuatan kepada Ganjil untuk bersaing di Singapura nanti.

“Masyarakat kita suka menonton cerita cinta. Apabila hasilkan Ganjil, saya mahu persembahkan cerita percintaan dengan konsep dan idea yang sangat berbeza.

“Disebabkan itu, Ganjil dihasilkan dengan cerita berlatarkan masa dan dunia yang berbeza, melibatkan dua individu yang hidup pada masa sama, namun tidak mengetahui kewujudan satu sama lain.

“Ia cerita yang tidak straight forward, tetapi secara dasarnya berkisarkan percintaan. Saya percaya, cerita kalau bagus memang ada peluang untuk menang,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya