Undi pos pelajar IPT suburkan demokrasi

Undi pos pelajar IPT suburkan demokrasi

Pelaksanaan undi pos dalam kalangan penuntut universiti boleh menyuburkan sistem demokrasi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan membenarkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mengundi secara pos wajar dipertimbangkan oleh kerajaan kerana kaedah itu bukan sahaja menyuburkan proses demokrasi tetapi juga menjimatkan kos pelajar universiti untuk pulang mengundi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau sudah membangkitkan isu undi pos sejak 2008 lagi kerana melihat ia adalah kaedah yang praktikal.

“Negara kita luas dan komunikasi kita masih terbatas. Jadi, undi pos patut dilaksanakan dan bukan saja terhad kepada undi pos sahaja tapi juga penggunaan semua teknologi yang sesuai termasuk undi dalam talian juga patut dilaksanakan.

“Saya melihat bahawa ini satu perkara yang perlu dikaji Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kerajaan perlu memberi peruntukan secukupnya untuk melaksanakan pengundian sebegini. Kerana ia sejajar dan selaras dengan pelaksanaan Undi 18.

“Kebiasaanya yang berumur 18 tahun sehingga 20-an itu, mereka ramai berada di universiti. Kalau kita tak melaksanakan melalui undi pos atau pun apa saja cara pengundian, mereka bakal terlepas peluang mengundi,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, meskipun pelaksanaan sistem undi pos dalam kalangan pelajar universiti membabitkan pelbagai kekakangan, namun dengan mekanisme yang terperinci dan tepat, kerenah-kerenah itu dapat diatasi.

“Undi pos ini, kerenahnya besar. Sebab nak cari saksi dan sebagainya, itu yang menjadi satu kerenah besar. Justeru, itu perlu diatasi oleh SPR.

“Kita perlu mencontohi negara-negara maju yang telah menggunakan teknologi pengundian sebegini. Walaupun ada segelintir pihak di luar sana mengatakan, banyak perkara perlu diperinci, kita boleh mengaturkan kaedah menangani masalah daripada diganggu gugat oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa pengundian secara pos di universiti boleh dipantau oleh pensyarah sekali gus memudahkan kawal selia.

“Undi pos lebih mudah, ke­rana sekarang notis diberi awal, dan orang pun diberikan maklumat bahawa dia akan menggunakan undi pos. Jadi, kalau di universiti ia boleh dilaksanakan.

“Para pendidik, pensyarah dan profesor boleh menjadi pihak kawal selia bagi pengundian pos pelajar di universiti mereka sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN