SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mempertimbang menyediakan kemudahan pengangkutan para pelajarnya pulang ke kampung masing-masing untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Prof.Dr. Mohd.Sazili Shahibi berkata, pengurusan universiti itu mengadakan perbincangan dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) berhubung isu pengangkutan pelajar pulang ke kampung untuk mengundi.
“Pada saat ini kita sedang mengadakan tinjauan melalui Google Form berhubung isu kemudahan pengangkutan untuk para pelajar pulang ke kampung masing-masing.
“Setakat ini belum ada ketetapan lagi (berhubung isu pengangkutan pelajar), baru cadangan sahaja.
Hasil perbincangan awal dengan MPP UiTM, kita setuju untuk hantar pelajar ke terminal bas dan lapangan terbang sahaja.
“Kami sentiasa prihatin dengan hasrat pelajar-pelajar di kesemua cawangan untuk melunaskan tanggungjawab mereka sebagai pengundi berdaftar pada PRU-15,” katanya.
Terdahulu, muka depan Mingguan Malaysia hari ini melaporkan, sebahagian besar daripada 1.3 juta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara mungkin terlepas peluang mengundi
buat pertama kali dalam pilihan raya umum (PRU) disebabkan memerlukan belanja besar
untuk pulang.
Keadaan itu lebih dirasai pelajar yang berada jauh dari kampung terutama berasal dari Sabah dan Sarawak yang menuntut di Semenanjung atau sebaliknya, serta mereka yang mengundi di Johor tetapi belajar di Pantai Timur atau utara tanah air.
Untuk rekod UiTM menjadi institusi pengajian tinggi yang mempunyai bilangan pengundi muda 18 dan 20 tahun paling ramai iaitu 185, 400 orang atau mewakili 15.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi muda 1.2 juta orang di seluruh negara.
Jumlah pelajar tersebut membabitkan di semua 35 cawangan UiTM di seluruh negara manakala kakitangannya seramai 18,347.
Mohd.Sazili berkata, pihaknya memahami masalah kos yang dihadapi pelajar untuk pulang ke kampung namun semuanya bergantung kepada perbincangan dan keputusan pengurusan peringkat tertinggi UiTM.
“Sebelum segala keputusan (berhubung pengangkutan pelajar pulang ke kampung) dimuktamadkan, saya kena bawa hasil perbincangan dengan MPP sebelum ini dan hasil tinjauan secara maya kepada majlis eksekutif universiti dahulu untuk tetapkan keputusan,” katanya. – UTUSAN










