PUTRAJAYA: Seramai tujuh individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti skim piramid ditahan menerusi serbuan ‘Op Reward’ di sebuah pusat perdagangan di Jelutong, Pulau Pinang, Rabu lalu.
Operasi bersepadu yang dijalankan Pasukan Tindakan Khas Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut disertai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Cyber Security Malaysia.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, berdasarkan siasatan awal, syarikat terbabit didapati menjalankan dan mempromosi aktiviti skim piramid kepada orang awam menerusi aplikasi dalam talian dan penjualan pakej tertentu sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, syarikat itu disyaki turut aktif melakukan aktiviti skim piramid di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Sarawak selain menjalankan pelbagai perniagaan lain.
“Seramai tujuh individu disyaki suspek kes terdiri daripada empat lelaki warga tempatan, dua wanita tempatan dan seorang lelaki warga Taiwan ditahan bagi membantu siasatan.
“Pasukan serbuan berjaya menyita pelbagai dokumen, komputer riba dan telefon bimbit yang berkaitan bagi membantu siasatan selain sembilan kenderaan mewah termasuk BMW, Toyota, Maserati, Porsche dan Mercedes Benz serta pelbagai beg tangan berjenama mewah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, operasi bersepadu yang dijalankan tersebut adalah hasil daripada maklumat awam dan risikan pelbagai agensi penguatkuasaan.
Selain itu katanya, sebanyak 38 akaun di tujuh buah bank dibekukan selain sitaan wang tunai dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM 967,720.29.
“Pasukan penguat kuasa turut menyerbu empat premis kediaman yang didiami suspek di sekitar Pulau Pinang dan Kedah,” jelasnya.
Katanya, kes disiasat mengikut subseksyen 4 (1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid (AJLSAP 1993) iaitu menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen dan Seksyen 27B AJLSAP 1993 kerana mempromosikan atau menjalankan skim piramid.
Tambah beliau, kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 kerana disyaki melakukan aktiviti pengubahan wang haram. – UTUSAN










