Tipu pakej perkahwinan, suspek lesap bersama RM20,900 -

Tipu pakej perkahwinan, suspek lesap bersama RM20,900

SUSPEK lelaki berusia 28 tahun yang dicari polis berikutan kes penipuan pakej perkahwinan membabitkan dua orang mangsa di bandar Bentong di Bentong, Pahang 24 Oktober lalu. - FOTO /IHSAN IPD BENTONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Polis masih mengesan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang dikaitkan dengan kes penipuan pakej perkahwinan melibatkan kerugian RM20,900.

Suspek yang disyaki menjalankan perniagaan menerusi sebuah syarikat menguruskan perkahwinan menyasarkan pasangan yang ingin berkahwin di daerah ini dengan menawarkan set pelamin, baju pengantin, pakej persolekan, jurugambar, khemah dan katering.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, polis menerima aduan dua mangsa pada 24 Oktober lalu iaitu ibu pengantin berusia 57 tahun dan pengantin berusia 28 tahun tentang syarikat itu yang memperdayakan orang ramai dengan memaparkan iklan promosi pakej perkahwinan menerusi Facebook.

“Suspek berkenaan mengiklankan syarikat itu dengan menawarkan pelbagai pakej perkahwinan kepada pasangan pengantin di daerah ini.

“Dalam aduan berkenaan, mangsa (ibu) dan anaknya (pengantin) bersetuju mengambil pakej perkahwinan yang ditawarkan itu dan berjumpa dengan suspek untuk berunding sekali gus diminta membuat pembayaran penuh atas nama syarikat tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zaiham, selepas pembayaran dimasukkan ke akaun syarikat tersebut, suspek menghilangkan diri dengan kerugian yang ditanggung oleh kedua-dua mangsa sebanyak RM20,900.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati syarikat yang menawarkan pakej perkahwinan itu memang wujud dan berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Kita juga mengenal pasti butik pengantin syarikat tersebut ada di bandar ini dan kini tidak beroperasi lagi berikutan suspek menghilangkan diri. Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 420 Akta Kanun Keseksaan,” katanya.

Zaiham juga memohon kerjasama mangsa lain yang ditipu oleh suspek berkenaan supaya tampil membuat laporan di IPD Bentong.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menerusi talian 092222222 untuk membantu siasatan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN