PETALING JAYA: Syor Majlis Pemulihan Negara (MPN) melalui rumusan yang dicapai pada Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di Putrajaya pada 13 Oktober lalu realistik dan perlu dilaksanakan sebaik mungkin dalam membantu menangani masalah rakyat.
Cadangan-cadangan yang diusulkan oleh MPN menepati keperluan rakyat dan negara terutama dalam menghadapi suasana ekonomi yang dijangka tidak menentu pada tahun hadapan.
Syor-syor dikemukakan MPN dapat membantu pihak dalam industri dan bukan sekadar pandangan atau cadangan semata-mata terutama ketika mendepani pasca pandemik Covid-19 dan kemungkinan kemelesetan ekonomi tahun depan.
Bagi Pengurus Operasi Mahaizah Transport & Tours, Amirul Izuan Illias cadangan dikemukakan MPN iaitu pemberian moratorium khas bagi perusahaan makro, kecil dan sederhana (PMKS) sangat baik terutama ketika berdepan penularan wabak Covid-19.
“Ia bertepatan dengan usaha membantu sektor perniagaan ketika berlakunya penularan wabak Covid-19.
“Namun begitu, pemberian seharusnya berlandaskan kepada keperluan semasa dan dalam situasi yang kritikal sahaja.

Sementara itu, pekerja swasta, Fahizral Azrol Mustafa berkata, sistem penyaluran bantuan secara berpusat perlu disegerakan untuk mengurangkan birokasi pada masa depan.
Katanya, apa yang paling penting nanti, sistem tersebut perlu mesra pengguna dan lebih kemas terutama untuk membantu golongan tertentu.
“Apa yang saya faham, sistem ini akan diintegrasikan dengan penerima data bantuan dari semua agensi di bawah satu sistem yang sama.
“Diharapkan mereka (penerima bantuan) mendapat maklumat terperinci dan pertolongan terutama bagi golongan tua yang mahu membuat permohonan bantuan,” ujarnya.
Suri rumah, Nor Azliza Zulkifli berkata, MPN perlu lebih aktif dalam memberikan syor berkaitan pembangunan dan hal ehwal pendidikan terutama berkaitan kemahiran.
Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial yang membabitkan pembentangan 12 kertas kerja penyelidikan itu menetapkan 11 rumusan yang perlu diambil tindakan untuk memulihkan negara.
Ini termasuk penekanan kepada aspek kuantiti dankualiti pendidikan bagi mengatasi masalah keciciran termasuk menambah baik pengambilan nutrisi makanan dan mengatasi masalah mental dalam kalangan murid.
Selain itu sektor perniagaan perlu dipacu dengan meningkatkan akses kepada geran dan pinjaman serta moratorium bersasar bagi mengatasi masalah aliran tunai.
Kerajaan juga diminta memperkenalkan insentif bagi tujuan ketersediaan digital Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada buruh berkemahiran rendah, pekerjaan berkualiti tinggi dan menawarkan pendapatan tinggi.
Pada masa sama perlu segera mengenal pasti pelaburan yang memfokuskan kepada foreign direct investments (FDI) dan domestic direct investments (DDI) yang berteknologi dan produktiviti tinggi serta menawarkan pekerjaan dengan pendapatan tinggi kepada rakyat.
Insentif juga perlu diberikan kepada kepada majikan yang menghantar pekerja untuk peningkatan kemahiran (upskilling and reskilling), penumpuan kemahiran menjurus ke arah digitalisasi dan mahir dalam teknologi tinggi serta meningkatkan produktiviti serta peluang meningkatkan pendapatan.
Selain itu perlu segera menyelesaikan isu-isu sosioekonomi negara khususnya dalam mengurangkan jurang pembangunan di Sabah dan Sarawak melalui pendekatan berdasarkan situasi merangkumi hak golongan wanita, orang kurang upaya (OKU), golongan minoriti termasuk Orang Asal.
Infrastruktur asas dan akses kepada perkhidmatan kesihatan terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak perlu terus ditambah baik. Antaranya mengurangkan kos pengangkutan tinggi, out-of-pocket payments, kekurangan staf kesihatan.
Tumpuan juga perlu diberikan kepada aspek structural change yang bersifat berpusat kepada “decentralisation” termasuk dari segi pengagihan peruntukan yang lebih saksama untuk Sabah dan Sarawak.
Isu jaminan bekalan makanan bagi mengatasi dilema ketidaktentuan rantaian bekalan serta kebergantungan terhadap import yang telah menghantui kita sejak sekian lama perlu ditangani dengan efektif selain meningkatkan pembangunan ekonomi berasaskan tenaga boleh diperbaharui dan matlamat ekonomi hijau.
Mengenal pasti anjakan baharu dalam bidang ekonomi yang bersesuaian mengikut acuan tempatan dengan merangka strategi yang berkesan (contohnya, instrumen wakaf, zakat dan infaq), tanpa mengikut atau mengadaptasi model luar negara yang sukar dipraktikkan di Malaysia.
Untuk menjayakan semua rumusan ini, satu pendekatan yang holistik dan inklusif perlu diambil dalam memacu pemulihan negara serta memperkukuh aspek keterangkuman sosial kerana ia penting bagi menangani jurang pendapatan dan sosioekonomi merentasi wilayah sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030). – UTUSAN










