Stor simpan diesel subsidi di Selangor dibongkar

Stor simpan diesel subsidi di Selangor dibongkar

SEBAHAGIAN barangan yang disita dalam serbuan di sebuah premis di Taman Industri Selesa Jaya, Balakong, Selangor baru-baru ini. - Ihsan KPDNHEP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Selangor baru-baru ini.

Menurut Ketua Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam, kejayaan itu hasil serbuan ke atas sebuah premis tanpa nombor dan alamat di sekitar Taman Industri Selesa Jaya, Balakong.

“Lokasi ini disyaki telah dijadikan sebagai tempat bagi aktiviti pemindahan diesel bersubsidi dan stor simpanan minyak itu tanpa kebenaran,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Serbuan tersebut dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa kementerian dari ibu pejabat Putrajaya pada pukul 3 petang hasil daripada risikan beberapa hari sebelum itu.

Ketika pemeriksaan, seorang lelaki rakyat tempatan berusia lingkungan 30-an bersama-sama seorang lelaki bukan warganegara yang mengaku sebagai pekerja telah ditahan di premis ini.

Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan itu menemukan minyak diesel dianggarkan berjumlah 9,000 liter dengan beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut.

Azman menambah, premis itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran sah daripada pihak kementerian tersebut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Sehubungan itu, pasukan berkenaan menyita minyak tersebut, sebuah lori, peralatan penyambungan dan beberapa dokumen perniagaan yang berkaitan,” kata beliau.

Nilai keseluruhan rampasan berkaitan barang kawalan berjadual itu dianggarkan berjumlah RM99,350 manakala dua individu yang ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Kertas penyiasatan kes ujarnya, telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti punca bekalan diperoleh dan diedarkan termasuk pendakwaan di mahkamah.

Justeru, pihak kementerian tegasnya, memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang berurusan dengan barang kawalan berjadual agar mematuhi perundangan ditetapkan.

Pelaku individu kata Azman, boleh diambil tindakan keras di bawah akta itu yang sekiranya disabitkan kesalahan akan didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun.

“Selain itu, kes juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” kata Azman.

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil kes itu atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Aduan kes penyelewengan itu boleh disalurkan kepada pihak kementerian termasuk menerusi aplikasi Whatsapp 019-2794317 atau 019-8488000 atau pusat panggilan 1-800-88-6800. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya