SPRM diminta siasat kartel kuari Hutan Simpan Bukit Lagong

SPRM diminta siasat kartel kuari Hutan Simpan Bukit Lagong

ABDUL Razak Ismail (kanan) dan seorang ahli Otai Reformis menunjukkan dokumen dan kawasan kuari di kawasan Hutan Simpan Bukit Lagong di hadapan pejabat SPRM Selangor. - FOTO/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Otai Reformis meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kewujudan kartel kuari di Hutan Simpan Bukit Lagong, Gombak dekat sini.

Ia berikutan terdapat unsur mengaut keuntungan atas angin melibatkan empat syarikat yang diberikan kerja-kerja di lokasi tersebut yang difahamkan hanya mempunyai modal serendah RM2.

Menurut Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail, berdasarkan semakan pihaknya mendapati kawasan kuari seluas 887 hektar itu telah ‘dianugerahkan’ kepada 27 syarikat termasuk dari
Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Koperasi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Berhad.

“Setiap daripada syarikat itu mengusahakan kuari yang seluas hampir 40.4 hektar.Kenapa MBI ada kuari sedangkan MBI adalah agensi pelaburan bukan operator Kuari.

“Timbul juga konflik kepentingan ekoran bagaimana penjaga kepada hutan namun memberikan tanah untuk koperasi. Sepatutnya, Jabatan Perhutanan menjaga terutama hutan simpan dan bukan dapat untung dari hasil kuari dengan ‘membantai’ hutan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum membuat laporan kepada pihak SPRM berhubung Hutan Simpan Bukit Lagong yang diteroka untuk pembukaan kuari di luar Pejabat SPRM Selangor.

Jelas Abdul Razak lagi, pihaknya mendapat pelan kuari tersebut sebagai rujukan daripada sebuah syarikat hartanah yang membuat iklan berhubung lot-lot tanah kosong yang ditawarkan kerajaan negeri yang dijual pada harga RM150,000.

“Hasil semakan, kita mencurigai apabila terdapat empat syarikat hanya bermodalkan antara RM2 hingga RM100 boleh mendapatkan tanah itu.

“Kalau kapital (modal) hanya RM2 dan RM3, nak bayar gaji termasuk pegawai keselamatan dan persekitaran bagaimana? Nak beli basikal pun tidak dapat. Jadi, jelaslah umpama cerita kassim baba (Ali Baba Bujang Lapok) bahawa ada yang untung atas angin sahaja sebelum jual kepada pihak ketiga,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mempersoalkan pemberian kepada salah sebuah syarikat yang pengarah dipercayai adalah penyokong Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau menambah, bagaimana seorang penyokong kepada pemimpin yang melompat parti masih diberi konsesi tersebut.

“Hendak tanya (Datuk Seri) Amirudin bagaimana orang yang lompat parti diberikan kuari. Adakah masih baik dengan Azmin.

“Mereka (penyokong Azmin) itu tiada pengalaman dalam bidang kuari dan hanya ahli politik di cabang Gombak dan kita tahu latar belakang mereka. Mungkin mereka terlibat disebabkan keuntungan atas angin,” jelasnya.

Sehubungan itu, Abdul Razak menegaskan pihaknya mempertikaikan pertimbangan Jabatan Perhutanan dalam pemberian dan penilaian terhadap syarikat-syarikat tersebut.

“Loy Sian ( Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor) dalam sesi Dewan Undangan Negeri sebelum ini menyatakan hanya lapan syarikat telah beroperasi.

“Kenapa tidak dedahkan atau sembunyikan telah meluluskan 19 lagi syarikat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya