Status kilang BYD di Tanjung Malim tidak jejas keyakinan pelabur - Utusan Malaysia

Status kilang BYD di Tanjung Malim tidak jejas keyakinan pelabur

SAARANI Mohamad (tengah) pada Majlis Penganugerahan Biasiswa Menteri Besar Perak Tahun 2026 kepada Calon SPM dan Penyerahan Mock Cheque Biasiswa Agrotek Perak SADC-YP di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Status projek pembinaan kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) oleh BYD di Tanjung Malim yang telah dihentikan kerana ketidakmampuan firma antarabangsa itu memenuhi syarat baharu yang diperkenalkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tidak menjejaskan keyakinan pelabur untuk melabur di Perak.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, walaupun kecewa dengan keputusan tersebut namun tidak akan sesekali berputus asa ataupun memberi laporan yang tidak baik di kalangan pelabur-pelabur.

“Kita bukanlah hanya ada satu pelabur sahaja yang masuk ke negeri Perak. Tadi pun ada menerima taklimat daripada pelabur daripada Taiwan, RM840 juta (pelaburan) kalau saya tidak silap.

“Bermakna, jika BYD tidak dapat melabur di Perak ini akan menjejaskan pelabur-pelabur lain sebab tapak-tapak perindustrian, taman-taman perindustrian itu dibuka dengan banyaknya dan pelabur-pelabur lain dijemput untuk melabur,” katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada Majlis Penganugerahan Biasiswa Menteri Besar Perak Tahun 2026 kepada Calon SPM & Penyerahan Mock Cheque Biasiswa Agrotek Perak SADC-YP di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak SADC, Mohd. Azhar Mohd.Yusof dan Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr. Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan.

Saarani menyifatkan kes melibatkan BYR bersifat terpencil dan yakin dapat menarik kehadiran pelabur antarabangsa berpotensi yang lain dengan impak pelaburan tinggi.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, pihaknya dalam proses rayuan kepada kerajaan Pusat terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya rasa pihak mereka (kerajaan Pusat) sedang menganalisa maklumat-maklumat yang ada dan keputusan akan diambil dalam tempoh yang terdekat.

“Jadi saya berharap semua percaya kepada pentadbiran, percaya kepada Perdana Menteri, kerana (projek BYD) merupakan hasrat rakyat Perak,” katanya.

Media melaporkan sebelum ini, BYD akan membuka kilang pengeluaran EV di Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) Tanjung Malim dengan pengeluaran dijangka pada tahun ini yang membabitkan keluasan 60 hektar bagi fasa pertama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN