GEORGE TOWN : Pulau Pinang memutuskan untuk tidak melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) buat masa ini selepas meneliti keperluan semasa dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri hari ini berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap operasi jabatan, tahap penyampaian perkhidmatan serta keadaan semasa yang masih terkawal.
Menurutnya, walaupun BDR tidak dilaksanakan ketika ini, kerajaan negeri akan terus memantau keperluan untuk mengguna pakai dasar itu dari semasa ke semasa.
“Sekiranya terdapat perubahan yang memerlukan pendekatan lebih fleksibel termasuk pelaksanaan semula BDR, maka, langkah sewajarnya akan dipertimbangkan,” katanya di sini, hari ini.
Sejak 15 April lalu, kira-kira 200,000 penjawat awam Persekutuan yang berada di Lembah Kelang dilaporkan telah mula melaksanakan dasar BDR berikutan krisis tenaga global yang berlaku ketika ini.
Buat permulaan, pelaksanaan itu melibatkan kawasan Lembah Klang serta semua ibu negeri, terutamanya bagi mereka yang menetap lebih 8 kilometer (km) dari pejabat, manakala sektor kesihatan dan keselamatan pula dikecualikan buat masa ini.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri komited memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas, di samping menjaga kebajikan penjawat awam.
Katanya, keseimbangan antara kecekapan penyampaian perkhidmatan dan kebajikan warga kerja sektor awam akan terus menjadi keutamaan kerajaan negeri. – UTUSAN











