KUALA PILAH: Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam nahas dengan sebuah kereta di Kilometer 4 Jalan Tanjung Ipoh-Seri Menanti, di sini, petang ini.
Mangsa, Arif Daniel Mohamed, 17, dari Kampung Batu Hampar, Seri Menanti di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang, membabitkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggangi mangsa dan kereta jenis Toyota Camry dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Pilah menghala ke Seri Menanti.
Tambahnya, apabila sampai di tempat kejadian, kereta itu telah berhenti sebentar di bahu jalan sebelah kiri untuk membelok ke simpang sebelah kanan kerana ingin berpatah balik ke arah Kuala Pilah.
“Setelah dirasakan selamat, kenderaan tersebut bergerak semula dari kiri bahu jalan lalu terus membelok ke simpang sebelah kanan. Ketika sedang membelok ke sebelah kanan, datang sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa.
“Mangsa yang sedang bergerak terus dari arah Kuala Pilah tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian pintu belakang sebelah kanan kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amran berkata, akibat daripada kemalangan, remaja tersebut mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini.
Menurut Amran, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN










