REE: SPRM buka kertas siasatan jika ada unsur rasuah

REE: SPRM buka kertas siasatan jika ada unsur rasuah

SHAHAROM Nizam Abd. Manap (kanan) melawat reruai sempena Program Hero Antirasuah SPRM Negeri Kedah dengan kerjasama Panorama Langkawi di puncak Gunung Machinchang di Langkawi SkyCab, Langkawi, hari ini. -UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah sedang mengumpul maklumat bagi melihat sama ada isu unsur nadir bumi atau rare earth element (REE) yang dicuri di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik mempunyai unsur rasuah atau penyelewengan.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap berkata, pihaknya telah mendapat maklumat mengenai perkara tersebut melalui siasatan sumbernya yang tersendiri sebelum didedahkan Utusan Malaysia kelmarin.

“Berkaitan dengan kecurian nadir bumi itu SPRM ada juga mendapat maklumat daripada sumber dan saya telah meminta pegawai kami untuk meninjau (mengumpul maklumat) berkaitan.

“(Kertas siasatan) belum (dibuka), cuma baru buat macam tinjauan. Tinjauan untuk pastikan sama ada berlaku kesalahan dalam bidang kuasa SPRM,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Hero Antirasuah SPRM Kedah dengan Kerjasama Panorama Langkawi Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan negara mungkin sudah kerugian mencecah angka berbilion ringgit apabila hasil REE di hutan simpan terbabit dicuri pihak tertentu sejak dua tahun lalu.

Mineral tidak beradioaktif yang ditemukan adalah sumber semula jadi bernilai tinggi. Ia boleh digunakan bagi pembuatan komponen peranti seperti telefon pintar, komputer riba dan barangan digital lain serta kereta elektrik, industri bateri, magnet berintensiti tinggi dan pembuatan kaca.

Tambah Shaharom Nizam, sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan berada di bawah pihak berkuasa lain, SPRM akan menyalurkan maklumat berkenaan kepada pihak yang berkaitan, namun jika ada unsur penyelewengan yang tertakluk di bawah bidang kuasa SPRM, pihaknya akan membuka kertas siasatan.

Walaubagaimanapun, kata beliau, sehingga kini tiada perkembangan terkini bagi isu kecurian sumber alam tersebut.

Dalam pada itu, mengulas mengenai program terbabit, Shaharom Nizam berkata, SPRM Kedah menjalinkan kerjasama dengan Panorama Langkawi bagi menyebarkan mesej anti rasuah yang melibatkan pengiklanan pada gondola kereta kabel di pulau pelancongan itu.

“Kali ini kita tumpu kepada pelancong dan kakitangan Panorama Langkawi. Ini kali pertama bahan pengiklanan antirasuah dilekat pada gondola kereta kabel. Inisiatif ini melayakkan syarikat terlibat mendapat pengecualian cukai yang ditawarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada syarikat-syarikat yang membantu membuat kempen pencegahan rasuah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya