Putrajaya pilih Radzi atau Ku Nan?

[ANALISIS] Putrajaya pilih Radzi atau Ku Nan?

SIAPA pilihan pengundi untuk mewakili mereka di kawasan pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya diketahui 19 November ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KALAU Radzi Jidin bertanding di Putrajaya lawan Ku Nan, encik undi siapa?” Itu soalan diajukan seorang wanita yang mendakwa dari Perikatan Nasional (PN) ketika menghubungi salah seorang pengundi di Wilayah Persekutuan bagi tujuan kaji selidik.

Persoalan itu sekali gus memberi petunjuk Menteri Kanan Pendidikan itu sah mahu bertanding di Pusat Pentadbiran Kerajaan selepas berulang kali dinafikan empunya diri yang mula dihidu ketika kerap menghadiri program di Putrajaya.

Tengku Adnan Tengku Mansor

Walaupun dilihat satu percubaan berani mati Radzi untuk merampas kerusi Parlimen daripada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai penyandang empat penggal berturut-turut, isu pendidikan dipercayai menjadi taruhan Radzi untuk menawan pengundi di situ.

Apatah lagi, Radzi dilihat ‘hero’ apabila membuat keputusan berani dan terbesar memansuhkan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dilaksanakan sejak 1988 dan turut membubarkan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diguna pakai sejak 2014.

Faktor sebahagian besar pengundi dalam kalangan penjawat awam yang tentunya merangkumi warga pendidik meletakkan lebih keyakinan untuk bertaruh dengan Ku Nan yang terkenal dengan julukan ‘Ketua Kampung’ Putrajaya.

Radzi Jidin

Naib Presiden Bersatu itu dilihat tidak serik untuk bertarung dengan tokoh tempatan selepas pernah kalah melawan Tan Sri Annuar Musa di Parlimen Ketereh pada PRU14 dengan hanya memperoleh undi 6,799 berbanding 25,467 undi Menteri Komunikasi dan Multimedia tersebut.

Bagaimanapun, nasib anak jati Ketereh, Kelantan itu baik kerana mampu berada dalam Kabinet selepas dilantik sebagai senator pada 2018 dan menjadi Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Pendidikan di bawah pentadbiran PN setelah Bersatu meninggalkan PH.

Radzi juga menggunakan alasan kediamannya berada di Putrajaya dan ‘rapat’ dengan masyarakat di situ sebagai asas untuk diterima pengundi kawasan ini sekali gus mampu mencabar Ku Nan sebagai calon PRU15 .

Perbezaan usia antara beliau, 45, dan Ku Nan, 72, juga mungkin menjadi pertimbangan untuk menambat hati pengundi muda di Putrajaya yang meliputi 12,578 pengundi berusia 30 tahun ke bawah.

Namun perlu diingat, hanya penduduk Putrajaya merangkumi 42,881 jumlah keseluruhan pemilih mampu menilai bagaimana Ku Nan ‘menjaga’ mereka sejak 2004, iaitu ketika menang pilihan raya pertama membabitkan kawasan berkenaan diwujudkan selepas persempadanan semula.

Jika seorang bayi baharu lahir ketika itu, usianya kini 18 tahun dan 3,571 daripada mereka layak mengundi kali pertama pada PRU15, 19 November ini sekali gus boleh menjadi penentu siapa calon yang mereka pilih.

Pada PRU14 lalu, Ku Nan mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya selepas menang dengan majoriti 3,372 undi dengan PRU sebelum itu menewaskan calon Pas, Datuk Husam Musa dengan majoriti 5,541 undi, manakala pada PRU12 menang dengan majoriti 2,734 dan PRU11 pula berjaya dalam persaingan dengan PKR dengan majoriti 3,546.

Bendahari UMNO itu yang baru dianugerahkan Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) Universiti Asia-e (AeU) bertekad meneruskan agenda perjuangan membina semula segala projek berkepentingan rakyat yang dibatalkan ketika pemerintahan 22 bulan Kerajaan PH jika BN diberi mandat semula.

Ini terutama melibatkan pembinaan semula Projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) RUMAWIP@Sentral di Presint 7 yang diluluskan pada 2019 yang pada perancangan asalnya membangunkan 500 unit kediaman dengan harga RM80,000 seunit.

Satu lagi projek perumahan yang dipersetujui bekas Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa dahulu turut dicadangkan di Presint 15, namun turut dicantas oleh PH. Mengikut perancangan juga, MyFarm Outlet di Presint 7 sepatutnya dibangunkan sebagai sebuah pasar raya, namun, ia juga tidak menjadi kenyataan.

Selain Radzi yang mewakili Bersatu, tiga lagi parti lain sedang mengintai melawan kerusi tradisi UMNO itu iaitu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Gerakan Tanah Air (GTA) dan Parti Amanah Negara (Amanah). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN