Pusat Mediasi Covid-19 ditamatkan 23 Oktober ini - Utusan Malaysia

Pusat Mediasi Covid-19 ditamatkan 23 Oktober ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Pusat Mediasi Covid-19 (PMC-19) akan ditamatkan pada 23 Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pautan bagi sebarang permohonan mediasi akan ditutup pada lewat malam 22 Oktober.

“Perkhidmatan PMC-19 yang ditubuhkan pada 11 November 2020, secara rasminya akan ditamatkan pada Ahad, 23 Oktober ini.

“Sehubungan itu, pautan bagi permohonan mediasi di laman sesawang www.pmc.19.gov.my akan ditutup pada pukul 11.59 malam, 22 Oktober 2022 (Sabtu),” katanya.

PMC-19 telah ditubuhkan pada 11 November 2020 di bawah Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 [Akta 829].

Menerusi kenyataan media, Wan Junaidi berkata, kerajaan amat bangga kerana PMC-19 berjaya membantu Keluarga Malaysia untuk menyelesaikan pertikaian kontrak akibat pelaksanaan PKP dan penularan Covid-19 secara baik tanpa melibatkan proses perbicaraan di mahkamah.

“Penyelesaian pertikaian melalui pengantaraan ini terbukti berkesan kerana ia lebih pantas, menjimatkan kos dan menawarkan penyelesaian secara menang-menang kepada masyarakat.

“Perkhidmatan pengantaraan percuma yang ditawarkan di bawah PMC-19 pastinya tidak akan berjaya tanpa sokongan mediator (pengantara) yang digerakkan oleh Malaysian Bar di Semenanjung, Sabah Law Society (SLS) di Sabah dan The Advocates Association of Sarawak (AAS) di Sarawak.

“Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada pegawai dan kakitangan Pusat Mediasi Covid-19, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri yang telah berkhidmat sepanjang penubuhan PMC-19 serta kepada pengantara-pengantara di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang telah menjayakan inisiatif ini,” katanya.

PMC-19 berperanan membantu orang awam menyelesaikan pertikaian yang berbangkit daripada ketidakupayaan untuk melaksanakan apa-apa obligasi kontraktual yang timbul akibat dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan wabak Covid-19.

Pengantaraan (mediasi) yang dilaksanakan di bawah PMC-19 adalah secara sukarela dan nilai pertikaian yang boleh dirujuk untuk pengantaraan melalui PMC-19 adalah tidak melebihi RM500,000, kecuali pertikaian berhubung kontrak pembinaan.

Sepanjang penubuhan PMC-19, sebanyak 290 kes telah dirujuk ke PMC-19 dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 79 kes telah diselesaikan dengan nilai pertikaian terkumpul berjumlah RM3.8 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya