SHAH ALAM : Sebuah pusat pemulihan di bawah jenama Are You Okay bakal ditubuhkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Wanita Ikon Selangor 2022 sebagai inisiatif membantu menangani isu-isu berkaitan psiko-sosial dan kesihatan mental golongan pelajar.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Wanita Ikon Selangor iaitu Datin Erni Dekritawati Yuliana Buhari atau Rita Sosilawati, objektif utama penubuhan pusat berkenaan adalah sebagai medium interaktif warga UiTM yang terdiri daripada golongan pelajar dan staf dalam berkongsi masalah yang menyumbang kepada tekanan dan masalah mental.
“Pusat ini bertindak dalam membantu mencadangkan saluran yang betul kepada pihak yang berkaitan untuk diambil tindakan. Ini kerana, ramai orang yang mempunyai masalah, tidak tahu ke manakah saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka.
“Ia juga berfungsi sebagai tempat bagi aktiviti-aktiviti sihat minda di kalangan warga UiTM dan komuniti setempat.
“Pusat ini akan dikendalikan oleh sukarelawan dalam kalangan pelajar yang terpilih dan terlatih dengan dikawal selia oleh Pegawai Psikologi berpengalaman dari UiTM sendiri,”katanya.
Terdahulu, satu majlis menandatangani Surat Hasrat (LOI) antara Universiti Teknologi MARA dan Wanita Ikon Selangor 2022 telah berlangsung di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin UiTM Shah Alam, hari ini.
Majlis ini turut dihadiri oleh Presiden Green Ribbon Group,Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah dan Pengarah Kanan Jabatan Komunikasi,Prof. Madya. Datin Dr. Norazida Mohamed.
Dalam pada itu, menurut Rita, dia menaruh harapan agar penubuhan Pusat Are You Okay ini akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.
“Hal ini adalah kerana, selain dari salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang harus dilaksanakan sebagai Wanita Ikon Selangor 2022, penubuhan pusat ini juga merupakan “giving back to UiTM,”katanya.










