SHAH ALAM: Parti Bangsa Malaysia (PBM) sedia bertanding secara bersendirian sekiranya permohonan mereka memasuki Barisan Nasional (BN) tidak diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Pemuda PBM, Na’im Brundage berkata, partinya perlu bersedia dengan kemungkinan tersebut memandangkan UMNO telah menetapkan pendirian bahawa PRU15 harus dijalankan tahun ini.
“Sukar untuk kita jangkakan (berhubung permohonan itu) tapi kami harus bersedia untuk bertanding solo sekiranya terdesak. Apapun, kami masih lagi berharap untuk berada dalam gagasan BN,” katanya dalam sidang akhbar pra Persidangan Agung Tahunan Pertama PBM di Ideal Convention Centre (IDCC) hari ini.
Ogos lalu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan bagi memasukkan PBM ke dalam BN harus mendapati persetujuan secara konsesus dengan semua parti dalam gabungan itu.
Menurutnya, selain PBM, terdapat beberapa parti kecil yang turut membuat permohonan untuk menyertai BN.
Dalam pada itu, Na’im memaklumkan bahawa partinya sudah bersedia untuk bersaing dalam PRU15, tidak kira bila pilihan raya umum akan diadakan.
Menurutnya, Pemuda PBM bersama sayap dalam parti itu sudah memulakan gerak kerja lebih awal sebagai persediaan bagi menghadapi ‘perang’ itu.
“Kita sudah menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Raya serta melantik Pengarah Pilihan Raya di beberapa cabang parti. Malah, ahli parti telah diajaf mengenai gerak kerja yang perlu mereka lakukan semasa PRU15 berlangsung,” jelasnya.