PRU15: Perlu kerja kuat, tiada lagi istilah gerenti menang - Utusan Malaysia

PRU15: Perlu kerja kuat, tiada lagi istilah gerenti menang

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) bersama Ahmad Zahid Hamidi (kanan) pada majlis Solidariti, Kestabilan dan Kemakmuran dan Pelancaran Jentera BN Pahang di Laman Kerayong di Bera, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada lagi istilah gerenti menang jika menerima watikah menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Sebaliknya, Naib Presiden UMNO itu berkata, situasi itu berbeza sejak PRU14 lalu yang mana tidak ada parti yang boleh memberikan jaminan boleh menang.

“Gerenti menang tidak boleh digunakan lagi. Jika dulu siapa tanding atas tiket BN pasti akan menang, siapa dapat watikah ada jaminan untuk menang.

“Sekarang, seperti mana PRU14 lalu bahawa tidak ada parti boleh beri jaminan boleh menang.

“Kita mesti kerja kuat, bukan sahaja di Pahang kita kekalkan dan kalau boleh menang dengan majoriti dua pertiga, tetapi juga di kerusi Parlimen kita kena pastikan kita menang,” katanya ketika berucap pada majlis Solidariti, Kestabilan dan Kemakmuran dan Pelancaran Jentera BN Pahang di Laman Kerayong di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ismail Sabri berkata, penentu kemenangan pada PRU15 ini bukan ahli dalam BN dan parti komponennya tetapi pengundi yang tidak berparti terutamanya golongan muda yang sukar diketahui sokongan mereka berpihak kepada siapa.

“Golongan ini kita perlu dekati dengan mengadakan sesi libat urus. Kira-kira lima juta pengundi baru pada PRU15 kali ini, tanpa sokongan pengundi muda sukar untuk kita menguasai kerajaan. Kita perlu bekerja kuat bukan sahaja memastikan pengundi putih kekal bersama kita tapi mereka di atas pagar dan tidak berparti terus menyokong kita,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, ahli BN perlu bijak menepis fitnah pembangkang terutama dakwaan bahawa kerajaan ketika ini gagal menguruskan ekonomi dengan baik.

Sedangkan katanya, ekonomi negara antara yang terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 8.9 peratus pada suku kedua berbanding 5.0 peratus pada suku pertama tahun ini.

Beliau berkata, pertumbuhan KDNK ini adalah tertinggi di ASEAN dan lebih tinggi berbanding beberapa negara maju dan serantau seperti China (0.4 peratus), Amerika Syarikat (1.6 peratus), Korea (2.9 peratus), Kesatuan Eropah (4.0 peratus), Singapura (4.4 peratus), Indonesia (5.4 peratus) dan Filipina (7.4 peratus).

“Ini kita perlu jawab supaya rakyat tidak percaya dengan fitnah pembangkang, kita perlu buktikan kita lebih baik daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini. Bukti ini kita perlu tampilkan,” katanya.

Beliau yakin pada PRU15 ini, PH akan tampil dengan pelbagai janji baharu tapi percayalah ia hanya palsu dan cukup sekali ditipu pada PRU14 lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya