PUTRAJAYA: Situasi masyarakat yang masih berada dalam suasana ‘tidak pasti’ dengan politik semasa negara boleh mempengaruhi peratusan keluar mengundi pada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini.
Walaupun peratusan keluar mengundi pada PRU14 lalu merekodkan angka tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak 82.32 peratus (12,229,514 daripada 14,940,624 pengundi berdaftar), kemahuan tinggi masyarakat ketika itu yang mahu menukar kerajaan mempengaruhi rekod tersebut biarpun hari pengundian dilaksanakan pada hari Rabu.
Bagaimanapun, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka baru-baru ini menunjukkan penurunan ketara apabila peratusan mengundi di bawah sasaran 70 peratus ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu 65.85 peratus atau 326,068 daripada 495,195 pengundi (PRN Melaka) manakala 54.92 peratus atau 1,426,573 daripada 2,597,742 pengundi berdaftar pada PRN Johor.
Pelaksanaan kali pertama pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun yang dibenarkan mengundi dalam PRN Johor pada 12 Mac lalu juga tidak mampu meningkatkan peratusan keluar mengundi iaitu tidak sampai 5 peratus daripada keseluruhan 173,177 jumlah pengundi muda.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, keadaan masyarakat yang belum mempunyai pilihan muktamad ke arah kecenderungan untuk menyokong mana-mana parti politik adalah satu perkara tidak baik bagi demokrasi negara.
Demokrasi seharusnya subur dan matang dengan diukur jumlah peratusan pengundian yang ditetapkan SPR.
“Berdasarkan dua rujukan PRN lepas dijangka peratusan mengundi PRU15 lebih kurang sama iaitu sekitar 60 peratus atau bawah 70 peratus seperti di PRN Melaka dan Johor.
“Bagaimanapun, kita harap situasi seperti ini tidak berlaku di peringkat Persekutuan kerana kita mahukan suasana demokrasi matang dalam negara dan jumlah pengundian ini mencapai tahap minimum yang ditetapkan SPR berdasarkan faktor diperincikan mereka,” katanya di sini semalam.
Nirwandy berkata, protes rakyat dengan tidak keluar mengundi juga berkemungkinan akibat kecenderungan pasif politik dalam kalangan pengundi yang tidak mempunyai keahlian parti, bukan ahli tegar atau penyokong parti tertentu.
Keadaan ini, katanya, akan terus mewujudkan satu simbolisme di mana mereka menyuarakan ketidakpastian itu dengan tidak membuang undi.
Justeru kata beliau, perkara ini perlu dimainkan dan diperjelaskan SPR untuk menaikkan tahap demokrasi negara ke arah lebih subur dan matang dengan mempromosikan kenapa pentingnya rakyat keluar mengundi.
“Ini untuk mewujudkan satu demokrasi lebih baik untuk negara dan mewujudkan satu legitimasi politik yang mampu untuk menunjukkan kematangan dan kesuburan demokrasi malaysia pada ketika ini.
“SPR perlu mempergiatkan kempen jom mengundi seperti satu ketika dahulu dengan menggunakan teknik gerak saraf lebih moden dan bersifat hiburan seperti lagu, sketsa, poster dan elemen lain yang menarik perhatian orang ramai turun mengundi,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr Kartini Aboo Talib berkata, rakyat sendiri akan rugi jika melakukan protes melalui tidak keluar mengundi hanya kerana muak dengan politik.
Beliau berkata, hak mengundi adalah hak asasi utama yang perlu digunakan dengan bijak memilih parti dan pemimpin yang akan menjamin kesejahteraan hidup bernegara.
“Mengundi bermakna memastikan duit rakyat terutamanya cukai digunakan untuk kebajikan rakyat dan negara.
“Jika atas sebab banjir, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan protes. Ini kerana banjir adalah fenomena biasa di pantai timur cuma pemanasan global menambah kemungkinan kawasan banjir.
“Kerajaan ada unit yang bersedia dengan ancaman banjir ini. Tidak semua tempat mengundi akan dilanda banjir. SPR akan mengenal pasti kawasan terbaik bagi akses pengundi,” katanya. – UTUSAN










