PRU15: Ketua UMNO Bahagian, ADUN tolak jadi calon

PRU15: Ketua UMNO Bahagian, ADUN tolak jadi calon

SAARANI Mohamad (tengah) melakukan gimik perasmian Program Briged Sukarelawan Banjir BN Perak di Ipoh semalam. - FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mendedahkan terdapat Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini yang menolak untuk dicalonkan mewakili parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Saarani bagaimanapun berkata, jumlah mereka yang menyatakan hasrat itu tidak boleh dimaklumkan buat masa ini.

“Ada tetapi tidak boleh umum siapa mereka sebab saya tidak mahu ia menjadi kelam-kabut. 

“Ada beberapa Ketua UMNO Bahagian, ADUN pun ada tetapi saya tidak boleh umum sekarang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Briged Sukarelawan Banjir UMNO Perak di Bangunan UMNO negeri, di sini semalam.

Semalam, Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr. Azhar Ahmad mengumumkan keputusannya menolak sebarang pencalonan dirinya sebagai calon pada pilihan raya akan datang.

Azhar menjelaskan keputusan itu dibuat bagi memecah tradisi sebelum ini yang lazimnya meletakkan ketua bahagian di sesuatu kawasan sebagai calon sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Saarani membidas Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang menuduh kegagalan Kerajaan Perak mengadakan sidang DUN bagi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti sebagai taktik Barisan Nasional (BN) untuk menarik wakil rakyat lompat parti.

Katanya, DAP perlu melihat kembali peristiwa selepas PRU14 apabila Pakatan Harapan (PH) menerima dua ADUN BN melompat dan menyokong mereka bagi membentuk kerajaan negeri. 

“Ini satu lawaklah. Tengok sejarah 2018, BN curi orang PH ke, PH curi orang BN? Tanya Nga Kor Ming 2018 semasa PH bentuk kerajaan, dia yang curi orang BN. Bukan BN curi orang dia, lawak tu. Cermin diri sendiri,” katanya.

Tambah Saarani, kerajaan negeri sama sekali tidak berniat melengah-lengahkan pembentangan RUU Anti Lompat Parti sebaliknya kesuntukan masa berbuat demikian.

Katanya, RUU itu perlu dibawa ke mesyuarat exco untuk dibincangkan sebelum mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk dibentangkan dalam sidang DUN.

“Kita perlu tunggu kerajaan Persekutuan mewartakan dahulu RUU anti lompat parti itu. Kerajaan Persekutuan mewartakan RUU sewaktu saya ada di Belgium dan minggu itu tidak ada mesyuarat exco. 

“Jadi kalau kita mahu bawa dalam mesyuarat exco yang terakhir minggu lepas kemudian DUN dibubarkan, kita tidak sempat buat keputusan.

“Kita bukan sengaja melengah-lengahkan. Kita berpegang, untuk membawa usul ini ke DUN kena tunggu RUU itu diwartakan peringkat Persekutuan, baru boleh ke sidang DUN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya