PRU15: BN yakin tawan semula JB

PRU15: BN yakin tawan semula JB

MOHD. HAIRI MAD SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pemuda UMNO Johor yakin Barisan Nasional (BN) mampu merampas semula kerusi Parlimen Johor Bahru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, keyakinan itu bersandarkan kekuatan sokongan golongan muda di kawasan bandar raya itu terhadap BN sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru berkata, golongan muda kini telah hilang kepercayaan terhadap Pakatan Harapan (PH) yang hanya mampu menabur janji tanpa melakukan sebarang pembangunan sepanjang 22 bulan memerintah. 

“PRN Johor lalu, anak muda sudah mula cakna dengan pembangunan yang dibuat BN. Janji-janji yang dibuat PH sebelum ini mahu pun apa yang mereka janjikan ketika PRU15 ini, saya anggap anak muda tidak akan terikut lagi. 

“Ini kerana mereka sudah celik dan saksikan sendiri apa yang telah berlaku ketika 22 bulan PH memerintah, bagaimana rosaknya negeri dan negara selain banyak agenda pembangunan tergendala.

“Jadi, dengan sokongan yang berpihak kepada BN ini, saya lihat kerusi Parlimen Johor Bahru ini berkemungkinan besar boleh dirampas kembali,” katanya ditemui selepas merasmikan Sukan Bangsa Johor di Velodrome Johor, di sini hari ini.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Johor Bahru dimenangi calon PKR, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir yang meraih 50,052 menewaskan penyandang, Tan Sri Shahrir Abdul Samad daripada BN yang mendapat 30,270 undi.

Mengulas lanjut, Mohd. Hairi berkata, peningkatan jumlah pengundi ekoran Undi18 dan pendaftaran automatik menyaksikan pertambahan jumlah pengundi muda menjadikan kumpulan usia itu melebihi pengundi dewasa sehingga akan berlaku pertambahan saluran mengundi pada PRU15 ini.

Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, peningkatan itu merupakan petanda baik bagi parti setelah gelombang pengundi muda sudah beralih memberi sokongan kepada BN.

“Kita lihat gelombang itu bermula pada PRN Melaka dan turun ke negeri ini ketika PRN Johor diadakan. Saya yakin bahawa pada PRU15 ini, gelombang anak muda ini akan terus memberi sokongan kepada BN.

“Tanpa ragu-ragu, saya yakin inilah masanya kita mencari kestabilan dan kemakmuran semula bagi memastikan agenda Malaysia dapat dilaksanakan,” katanya.

Mengenai calon yang akan diletakkan di Parlimen Johor Bahru, perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon terbaik daripada enam nama yang dikemukakan.

“Insya-Allah, dalam masa terdekat kita akan tahu siapa calon terbabit dan saya harap calon itu merupakan calon muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya