Presiden MIC intai kerusi Parlimen Sungai Siput

Presiden MIC intai kerusi Parlimen Sungai Siput

S A VIGNESWARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran mengintai untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu tetap terserah kepada pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk membuat pertimbangan dan keputusan sewajarnya. 

“Kita bukan parti seperti UMNO yang mana semua pimpinan tertinggi akan dicalon, tetapi individu yang memegang jawatan (dalam MIC) boleh dipertimbangkan. 

“(Jadi), saya harap saya bertanding (Parlimen) Sungai Siput. Itu sahaja yang saya fikir, saya tak boleh pergi ke tempat baru (sebab) tak cukup masa,” katanya kepada pemberita di Perhimpunan Agung MIC di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC), di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada semua pemimpin tertinggi MIC akan dicalonkan dalam PRU15 atau sebaliknya.

Terdahulu, Ismail Sabri memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk membubarkan Parlimen Penggal Ke-14 berkuatkuasa hari ini. 

Beliau berkata, perkara itu selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mengulas lanjut, Vigneswaran berkata, jumlah kerusi yang akan ditandingi MIC adalah sama seperti mana kerusi tradisi pada pilihan raya umum sebelum ini, namun beliau tidak menolak kemungkinan besar akan bertanding lebih. 

Bagi calon, beliau berkata, penyelaras sudahpun dilantik di kawasan tertentu dan mereka sudah pun memulakan kerja asas, namun masih belum memuktamadkan senarai calon itu. 

Dalam pada itu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan juga tidak menolak kemungkinan untuk mempertahankan Parlimen Tapah yang dimenangani pada PRU14 sebelum ini. 

“Ia bergantung; Jika presiden berkata saya perlu bertanding di Tapah, saya akan bertanding. Setakat ini, saya tidak nampak sebaliknya,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN