KUALA LUMPUR: Pengusaha bas dan van persiaran mahu kerajaan memperuntukkan subsidi diesel sebanyak 6,000 liter bagi bas dan 4,000 liter bagi van pada kadar RM2.15 seliter bagi membantu menampung kos operasi.
Rayuan itu dibuat susulan kenaikan mendadak harga diesel sehingga mencecah RM6.02 seliter yang memberi tekanan besar kepada industri tersebut sehingga menyebabkan pengusaha hanya mampu bertahan untuk tempoh dua bulan sahaja.
Persatuan Bas Bumiputera Malaysia (PPBM), Mahazir Mat Din berkata, hampir keseluruhan pengusaha masih berada dalam fasa pemulihan daripada kesan kewangan akibat pandemik Covid-19.
“Pengusaha terpaksa berdepan dengan peningkatan kos operasi termasuk harga diesel, kos alat ganti dan penyelenggaraan yang semakin meningkat. Di samping itu, kami masih dibebani dengan komitmen pinjaman tambahan termasuk skim Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) yang diambil ketika pandemik.
“Dalam keadaan ini, ruang untuk menyesuaikan kadar harga perkhidmatan juga amat terhad. Tanpa sokongan segera seperti subsidi diesel dan kelonggaran kewangan, ramai pengusaha berisiko gulung tikar dalam tempoh terdekat.
“Kami merayu agar kerajaan mempertimbangkan bantuan ini secara serius kerana industri ini memainkan peranan penting sebagai tulang belakang pengangkutan pelancong, sekali gus memastikan kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambah Mahazir, hampir 80 peratus kerugian dialami susulan pengurangan permintaan akibat peningkatan kos operasi berikutan kenaikan harga diesel.
“Keadaan ini sekali gus memberi kesan rantaian yang serius kepada sektor pelancongan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (IKS), hotel serta restoran.
“Dalam ekosistem pelancongan, semua pihak bergantung kepada perkhidmatan bas pelancongan sebagai penggerak utama yang membawa pelancong ke hotel, restoran, taman tema dan premis IKS. Tanpa perkhidmatan ini, keseluruhan rantaian industri sukar untuk terus bertahan,” katanya. – UTUSAN










