PETALING JAYA: Polis masih belum menerima sebarang arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung pelakon, Sharnaaz Ahmad yang didakwa menumbuk dan menendang penghuni sebuah kondominium di Segambut, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kertas siasatan berkenaan telah dirujuk kepada TPR dan buat masa ini pihaknya masih belum menerima keputusan daripada mereka.
“Tiada arahan lanjut daripada pihak TPR setakat ini,” katanya ringkas.
Media sebelum ini melaporkan, pelakon lelaki direman tiga hari selepas disyaki menumbuk dan menendang pengawal keselamatan di kondominium di Segambut, di sini Jun lalu.
Pelakon itu ditahan selepas mangsa yang juga penghuni kondominium tampil membuat laporan polis mendakwa dipukul suspek dan lebam di mukanya.
Kejadian bermula apabila mangsa yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan di tempat lain meminta rakannya membeli minyak masak.
Bagaimanapun rakannya itu tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan di kondominium terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran antara mangsa dengan pengawal keselamatan itu.
Kebetulan ketika kejadian itu, pelakon itu yang melihat insiden terbabit datang menegur mereka sebelum bertukar sebaliknya apabila dia didakwa bertindak menumbuk mangsa.
Susulan itu, dia direman tiga hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. – UTUSAN










