BEIRUT: Tentera Israel mengumumkan pada Ahad bahawa seorang anggotanya terbunuh sehari sebelumnya akibat serangan dron berisi bahan letupan milik Hizbollah di selatan Lubnan.
Ia menjadikan jumlah kematian anggota tentera Israel sejak awal Mac meningkat kepada 24 orang.
Staf Sarjan Michael Tyukin, 21, gugur dalam pertempuran di selatan Lubnan, menurut kenyataan ringkas tentera Israel.
Jurucakap tentera memberitahu AFP bahawa beliau terbunuh dalam serangan dron Hizbollah.
Secara keseluruhan, 25 rakyat Israel telah terbunuh. Jumlah itu terdiri daripada 24 anggota tentera dan seorang kontraktor awam sejak permusuhan antara Israel dan Hizbollah yang disokong Iran disambung semula pada 2 Mac.
Pertempuran itu berlaku apabila kumpulan Syiah itu bertempur semula sebagai sokongan kepada Teheran susulan serangan AS-Israel ke atas Iran.
Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam pada Sabtu menuduh Israel mengamalkan dasar bumi hangus dan hukuman kolektif di selatan negara itu.
Beliau menggesa agar pertempuran dihentikan selain memberi amaran bahawa ia memusnahkan bandar dan kampung dan memaksa penduduknya hidup dalam buangan.
Delegasi ketenteraan daripada kedua-dua negara telah mengadakan rundingan keselamatan di Washington, DC. pada Jumaat, dengan lebih banyak rundingan yang ditaja Amerika Syarikat (AS) dijangka berlangsung minggu depan.
Gencatan senjata untuk menghentikan pertempuran antara Israel dan Hizbollah yang disokong Iran secara rasmi bermula pada 17 April, tetapi tidak pernah dipatuhi.
Kedua-dua Israel dan Hizbollah saling menuduh setiap hari melanggar gencatan senjata itu dan masing-masing menggunakan dakwaan pelanggaran pihak lawan sebagai justifikasi untuk serangan. – AFP










