Polis terima semula kertas siasatan Tommy Thomas

Polis terima semula kertas siasatan Tommy Thomas

TOMMY THOMAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kertas siasatan membabitkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dikembalikan semula kepada polis, Selasa lalu.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin dalam satu kenyataan berkata, ia dikembalikan dengan arahan agar beberapa tindakan lanjut diambil bagi melengkapkan siasatan. 

“PDRM sedang dalam tindakan melengkapkan siasatan sepertimana arahan.

“Dalam pada itu, kertas siasatan akan segera dirujuk ke DPP untuk nasihat dan arahan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, PDRM mengemukakan empat kertas siasatan berhubung dakwaan salah laku Tan Sri Tommy Thomas kepada DPP dengan cadangan bekas Peguam Negara itu dituduh.

Sumber memberitahu, polis pada mulanya membuka lima kertas siasatan terhadap bekas Peguam Negara berkenaan namun hanya empat kertas siasatan yang diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Kini, kata sumber itu, polis  menunggu maklum balas daripada DPP untuk meneliti fakta kes dan menyemak kertas siasatan  beserta cadangan empat pertuduhan yang dikemukakan.

Sumber berkata, cadangan pertuduhan yang dikemukakan polis seperti yang terkandung buku laporan  Pasukan Petugas Khas bertajuk Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice In The Wilderness Tulisan YBhg. Tan Sri Tommy Thomas, Bekas Peguam Negara yang  di­nyahsulit kerajaan baru-baru ini.

Menerusi laporan tersebut, Pasukan Petugas Khas mendapati Tommy mungkin melakukan kesalahan  di bawah Seksyen 124I dan 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; dan di bawah peraturan, prosedur serta pekeliling Kerajaan.

Terdahulu, Utusan Malaysia yang memperoleh buku laporan setebal 822 muka surat Pasukan Petugas Khas menyenaraikan sembilan ele­men kemungkinan berlaku salah laku bekas Peguam Negara  itu.

Antaranya campur tangan Tom­my dalam melantik hakim-hakim, membocorkan rahsia ke­­rajaan, menyalahguna kuasa melantik peguam luar untuk me­wakili kerajaan sehingga mencemarkan imej badan kehakiman.

Selain itu, Tommy turut tidak patuh dengan  peraturan dan pe­­keliling kerajaan berhubung isu penjualan kapal Equanimity dan melakukan  kecuaian profesional dalam isu membabitkan tuntutan tanah di Tanjung Bu­ngah, Pulau Pinang.

Bekas Peguam Negara itu turut dikesan melakukan pecah amanah apabila beliau mendedahkan per­bualan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri.

Berdasarkan laporan tersebut, Pasukan Petugas Khas berkata, terdapat kemungkinan buku itu melanggar beberapa peruntukan undang-undang dan boleh disiasat di bawah beberapa seksyen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN