TEMERLOH: Perikatan Nasional (PN) berjanji akan terus membela nasib peneroka Felda di seluruh negara jika gabungan itu menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas Parlimen dibubarkan hari ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semasa beliau memimpin negara sebelum ini, kerajaan telah melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.
Selain itu katanya, turut diluluskan terbitan sukuk bernilai RM9.9 bilion oleh Felda dengan jaminan kerajaan bagi membolehkan agensi tersebut melaksanakan pelan pemulihan.
“Jaminan PN kalau kita menang PRU15 ini, kita akan buat lebih banyak lagi daripada apa yang telah kita buat sebelum ini. Apa yang penting nasib peneroka Felda terus terbela.
“Jangan tanya saya sekarang apa yang kita (PN) hendak buat (untuk peneroka Felda), kita tahu apa kita hendak lakukan demi membela peneroka Felda,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis pelancaran PN Pahang di Hotel Sri Malaysia di sini hari ini.
Berhubung pembubaran Parlimen hari ini, Muhyiddin berkata, PN menerima keputusan itu kerana ia telah pun mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berlandaskan Perlembagaan negara.
“Apa sebab pun, ia keputusan selaras Perlembagaan dan kami hormatinya. Walaupun PN sebelum ini memberikan pandangan situasi semasa tidak berapa sesuai diadakan PRU15 tahun ini, tetapi keputusan telah pun dibuat dan kita hormati.
“Apa yang penting kita telah bersiap siaga sejak dahulu lagi. Cuma kita harap proses pilihan raya kali ini tidak akan terganggu dengan keadaan banjir yang sudah pun bermula.
“Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT supaya situasi (banjir) tidak buruk untuk rakyat melaksanakan tanggungjawab mengundi,” katanya.
Beliau dalam pada itu berharap supaya tidak berlaku banjir buruk yang sekali gus boleh menjejaskan peratusan keluar mengundi.
“Itu kita harap tidak berlaku, jika berlaku juga banyak kerja kena buat termasuk jika perlu angkut kena angkut pengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.
Berhubung senarai calon PN, beliau berkata, ia masih dalam tempoh perundingan dan dijangka selesai dalam masa terdekat di peringkat Pusat dan PN Pahang.
“Manifesto PN akan diumumkan kelak, kita akan umum yang terbaik untuk rakyat,” katanya. –UTUSAN










