PLS mudahkan kemasukan pakar asing bagi kerja kritikal

PLS mudahkan kemasukan pakar asing bagi kerja kritikal

KHAIRUL DZAIMEE DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memperkenalkan Pas Lawatan Sosial (PLS) atau PLS@XPATS bagi memudahkan kemasukan pakar-pakar asing bagi kerja-kerja kritikal di negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, PLS itu diberi untuk tempoh 30 hari bagi membolehkan kerja-kerja kecemasan dan kritikal tersebut dilaksanakan segera.

Beliau berkata, pihaknya amat memahami bahawa terdapat keperluan dalam kalangan syarikat-syarikat tempatan dan syarikat-syarikat antarabangsa (MNC) yang memerlukan kepakaran asing bagi melaksanakan kerja-kerja kritikal di negara ini.

“Kerja-kerja kritikal itu termasuk pembaikan mesin di kilang-kilang, janakuasa elektrik mengalami kerosakan, sistem ICT gagal berfungsi, dan kerja- kerja ‘testing and commissioning’ sebelum aset dan kemudahan berkenaan boleh dibenarkan beroperasi.

“Pakar-pakar asing ini diperlukan segera supaya operasi dan produktiviti syarikat tidak terjejas serta kepentingan negara sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, syarikat boleh mengemukakan permohonan masing-masing melalui pautan sistem dalam talian Imigresen iaitu https://mtp.imi.gov.my/plsXpats.

Khairul berkata, kelulusan akan diberikan secara dalam talian dalam masa tiga hari bekerja. 

Menurutnya, warganegara asing yang memerlukan visa pula boleh memohon Visa Malaysia secara dalam talian melalui sistem e-Visa.

“Pemain-pemain industri tempatan dan pihak berkepentingan yang memerlukan maklumat  lanjut mengenai kemudahan  PLS@XPATS ini boleh boleh menghantar e-mel kepada [email protected],” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN