Pan Gon mula kumpul 'tentera' baharu

Pan Gon mula kumpul ‘tentera’ baharu

Kim Pan Gon
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC mengumumkan empat muka baharu sebagai sebahagian daripada perancangan besar ketua jurulatih, Kim Pan Gon untuk membentuk pasukan mengikut acuan dan falsafahnya sendiri menjelang saingan Liga Malaysia musim baharu 2026/2027.

Pengendali dari Korea Selatan itu dilihat semakin agresif menyusun semula kekuatan Gergasi Merah dengan membawa masuk pemain sayap A. Selvan, pemain tengah Nor Azam Azih, pertahanan kiri Adib Ra’op dan pertahanan tengah Filipina, Jefferson Tabinas.

Kehadiran empat pemain tersebut memberi gambaran jelas Selangor bukan sekadar mahu mempertahankan status sebagai antara pasukan elit Liga Malaysia (Liga M), malah bersedia untuk melangkah lebih jauh dalam misi mengakhiri kemarau kejuaraan.

Daripada semua nama yang diumumkan, Selvan antara pemain yang mencuri perhatian menerusi reputasi sebagai pemain sayap yang memiliki kelajuan luar biasa, agresif ketika menyerang dan tidak mengenal erti penat dalam membantu pasukan.

Pan Gon mengakui pemain berusia 25 tahun itu berada dalam radar pasukan sejak sekian lama kerana memiliki ciri-ciri yang menepati corak permainan moden yang mahu diterapkannya di Selangor.

“Selvan adalah antara pemain terpantas dalam bola sepak Malaysia ketika ini. Kelajuan memang kekuatan utamanya, tetapi apa yang paling mengagumkan ialah komitmen dan kadar kerjanya di atas padang.

“Di Selangor FC, kami mahu bermain dengan pantas, dinamik dan agresif. Selvan sangat sesuai dengan falsafah itu. Dia juga mampu beraksi di beberapa posisi di bahagian kanan, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan taktikal kepada pasukan,” katanya.

Kemasukan Selvan dijangka memberi nafas baharu kepada jentera serangan Selangor yang sebelum ini banyak bergantung kepada kreativiti pemain import.

Dengan kemampuan melakukan larian pantas dan mencipta ruang, dia dilihat mampu menjadi senjata penting dalam sistem permainan Pan Gon yang menuntut intensiti tinggi sepanjang perlawanan.

Dalam masa sama, pengalaman Nor Azam Azih di bahagian tengah dijangka menjadi aset berharga buat Selangor, manakala Adib Ra’op dan Tabinas pula dibawa masuk untuk memperkukuhkan benteng pertahanan yang menjadi antara fokus utama pasukan selepas musim lalu.

Dengan sasaran untuk kembali mencabar kejuaraan Liga Super dan memperbaiki pencapaian selepas muncul naib juara Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2025-2026, beberapa lagi pemain tempatan serta import dijangka bakal diumumkan dalam masa terdekat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN