Masyarakat lazimnya mengetahui bidang gubahan bunga sangat sinonim dengan wanita namun persepsi itu semakin berubah apabila golongan lelaki juga turut melibatkan diri dalam industri ini.
Ia sekali gus membuktikan kreativiti mengubah bunga tidak tertakluk kepada jantina semata-mata sebaliknya bergantung kepada individu itu sendiri.
Pengubah dan penjual bunga, Azhar Nasir berkata, kehadirannya dalam bidang yang sering dilabel sebagai pekerjaan wanita bukan sahaja menarik perhatian ramai namun membuka mata seni ini boleh diceburi oleh sesiapa sahaja.
Katanya, dia berjaya membina identiti tersendiri menerusi hasil gubahan bunga yang ditunjuk di media sosial serta kandungan kreatif yang dikongsikan di platform TikTok menerusi akaun @AzharNasir.
“Dulu saya memang tidak pernah terfikir mahu gubah bunga kerana pada saya, bunga ini macam satu benda yang akan mati dan hilang begitu sahaja.
“Tapi bila saya masuk dalam dunia ini, saya mula nampak seni dan emosi yang ada pada setiap jambangan yang dihasilkan,” katanya.
Bermula Dengan Membantu Rakan
Permulaan Azhar dalam bidang gubahan bunga sebenarnya berlaku secara tidak sengaja apabila dia pada awalnya mahu membantu dua orang rakannya yang baru membuka kedai bunga.
“Pada awalnya memang saya tiada pengalaman berkaitan dengan bunga ini memandangkan niat saya mahu meringankan beban rakan saya yang pada ketika itu baru mulakan bisnes kedai bunga,” ujarnya.
Azhar juga turut mempelajari perkara berkaitan bunga serta belajar daripada asas termasuk mengenali jenis bunga, cara penjagaan, teknik membalut jambangan serta kaedah penyusunan yang betul.

Pada masa yang sama, dia juga aktif menghasilkan video pendek di sosial media jadi dia mengambil pendekatan untuk mempromosikan kedai bunga rakannya melalui media sosial.
Tanpa disangka, satu daripada video yang dimuat naik di TikTok menjadi tular dan meraih jutaan tontonan kerana memperlihatkan seorang lelaki berwajah garang menghasilkan jambangan bunga yang cantik dan kemas.
“Saya memang terkejut apabila sudah tular sehinggakan ada yang mula memanggil saya dengan panggilan abang bunga malah ada juga yang merasakan wajah saya tidak sesuai untuk menjual bunga.
“Orang kata muka macam pemandu lori tapi buat bunga hakikatnya dari situlah orang mula kenal saya dan saya teruskan sahaja sebab ramai yang suka tengok,” katanya.
Oleh itu, kejayaan di media sosial turut mengejutkan ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat yang mengenalinya sebagai seorang yang pendiam serta tidak gemar menjadi perhatian umum.
Bunga Membawa Seribu Makna
Ujar Azhar, setiap jambangan sebenarnya menyimpan kisah dan emosi yang lebih mendalam daripada apa yang terlihat pada mata kasar walaupun ramai melihat bunga sebagai hadiah romantik.
Melalui kiriman nota di jambangan bunga, dia mula menyedari bahawa setiap jambangan bunga mempunyai cerita yang tersendiri yang adakalanya menyentuh hati.
“Antara tempahan yang paling menyentuh hati saya ialah apabila seorang pelanggan membeli bunga untuk diberikan kepada rakannya yang baru kehilangan bayi sebelum ini.
“Dari situ saya sedar bunga bukan sekadar hadiah yang cantik tetapi menjadi medium untuk menyampaikan perasaan, kasih sayang dan sokongan yang kadangkala sukar diungkapkan dengan kata-kata,” ujarnya.
Terdapat juga tempahan yang berkait rapat dengan kehilangan insan tersayang, penghargaan kepada ibu bapa, ucapan semangat ketika menghadapi kesukaran hidup serta pelbagai lagi momen yang sarat dengan emosi.

Pengalaman-pengalaman tersebut mengubah sepenuhnya pandangan Azhar terhadap bunga kerana setiap jambangan dianggap sebagai simbol kasih sayang, penghargaan dan kenangan.
Dia tidak menafikan terdapat maksud disebalik jenis bunga dan warna namun dia percaya nilai sebenar bunga terletak pada niat individu yang memberikannya.
Azhar turut melihat perubahan dalam kalangan masyarakat hari ini apabila semakin ramai wanita membeli bunga untuk lelaki, perkara yang suatu ketika dahulu dianggap luar biasa.
Menurutnya, sambutan terhadap konsep tersebut semakin menggalakkan terutama ketika sambutan Hari Bapa apabila ramai pelanggan wanita memilih jambangan bunga sebagai hadiah kepada ayah, suami atau teman lelaki mereka.
Kreativiti Tidak Bergantung Kepada Jantina
Azhar mengakui pernah menerima komen negatif terutama ketika awal kemunculannya namun dia memilih untuk tidak memberi perhatian kepada perkara tersebut.
Sebaliknya, lebih fokus kepada sokongan yang diterima daripada pelanggan serta pengikut yang menghargai hasil kerjanya. Baginya, kreativiti tidak boleh diukur berdasarkan jantina.










