Persepsi luar konon UMNO berpecah adalah tohmahan - Ismail Sabri - Utusan Malaysia

Persepsi luar konon UMNO berpecah adalah tohmahan – Ismail Sabri

ISMAIL Sabri Yaakob bersama Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Barisan Nasional Negeri Perak di Kompleks UMNO Bagan Datuk. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tiada pergeseran antara beliau dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Perdana Menteri, persepsi luar kononnya berlaku perpecahan dalam UMNO adalah tohmahan semata-mata untuk melihat parti itu terus berpecah belah.

Justeru, beliau dan Ahmad Zahid telah berbincang agar segala persepsi dan tohmahan itu segera dihentikan.

“Tiada isu antara saya dan Presiden UMNO, ia hanya nasi tambah di luar sana hendak tengok kita (UMNO dan Barisan Nasional) berpecah.

“Peribahasa menyatakan ‘antan sama antan berlaga, ayam di tepi kekenyangan’, jadi kita mesti bersatu jangan bagi pembangkang kekenyangan.

“Saya hendak beritahu kepada mereka yang cuba mahu pecah belahkan (kami), jangan cuba-cubalah, tiada perkara yang boleh pecahkan saya dan Presiden,” katanya berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, beliau dan Ahmad Zahid sebenarnya sudah saling mengenali sejak mereka masih belajar lagi.

Perkara itu kemudian turut diakui oleh Ahmad Zahid, apabila dalam ucapannya kemudian menjelaskan beliau mengenali dan rapat dengan Ismail Sabri ketika masih belajar di Universiti Malaya pada 1973.

“Ketika itu, saya tinggal sebilik dengan abang beliau iaitu Kamarulzaman Yaakob dan Ismail Sabri yang ketika itu belajar di Maktab Teknik, hampir setiap minggu datang ke bilik kami.

“Jadi, janganlah ada sesiapa hendak masuk campur isu hubungan kami. Tiada orang PM (Perdana Menteri), orang Presiden, yang ada hanya orang UMNO, orang BN,” jelas beliau.

Pada masa sama, beliau memberi amaran kepada mana-mana pihak yang bertindak sebagai penasihat atau penyokong masing-masing agar berhenti cuba melaga-lagakan mereka, sebaliknya sekarang adalah masa untuk bekerja memastikan kemenangan BN.

“Kita ketepikan pandangan berbeza, saya tahu kami ada penyokong dan penasihat masing-masing, kita menghargainya, tetapi penasihat berilah nasihat yang baik-baik, jangan jadi punahsihat,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya