Permohonan Najib cabar keputusan Jabatan Penjara wajar ditolak

Permohonan Najib cabar keputusan Jabatan Penjara wajar ditolak

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak agar beliau dibenar mencabar keputusan Jabatan Penjara Malaysia yang menghalangnya menghadiri sidang Parlimen, wajar ditolak.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, permohonan kebenaran semakan kehakiman bekas Perdana Menteri kini akademik kerana tidak disokong oleh alasan yang relevan.

Shamsul menghujahkan, permohonan Najib wajar ditolak kerana beliau bukan lagi bergelar Ahli Parlimen Pekan ekoran pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

“Dakwaan dan aduan yang menjadi asas dalam permohonan semakan kehakiman tidak boleh dikekalkan dan relif yang dipohon terhadap responden-responden kini akademik dan tidak lagi mendatangkan kesan yang praktikal,” hujah Shamsul.

Sehubungan itu, beliau mahukan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu ditolak kerana Najib tidak lagi terikat untuk melaksanakan tugas-tugas keperlembagaannya.

Shamsul berhujah demikian ketika membantah permohonan Najib agar beliau dibenar memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara Malaysia yang tidak membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Najib memohon dua pengisytiharan iaitu diberikan kebenaran mengakses pegawai parlimennya bagi menjalankan fungsi beliau sebagai Ahli Parlimen dan dibenarkan menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Sementara itu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berhujah, Najib masih bergelar Ahli Parlimen Pekan dan perlu melaksanakan tugas-tugas keperlembagaan sebagai wakil rakyat berdasarkan Perkara 48(4) Perlembagaan Persekutuan.

Hujah beliau, Najib berpotensi untuk dinamakan sebagai calon pilihan raya dan sepatutnya diberikan hak untuk berjumpa rakyat di kawasannya.

Alasan responden-responden ketika menolak permohonan Najib atas faktor keselamatan adalah tidak munasabah kerana bangunan Parlimen di bawah kawalan kerajaan.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menetapkan 27 Oktober ini bagi keputusan permohonan Najib.

Pada 5 Oktober lalu, Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara Malaysia yang tidak membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Dalam permohonan itu, Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Penjara dinamakan sebagai responden-responden.

Sebelum ini, Muhammad Shafee Abdullah dalam satu sidang media berkata, Jabatan Penjara menolak permohonan Najib untuk menghadiri sidang Parlimen. Permohonan itu dikemukakan pada 19 September lalu.

Pada 8 September lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun diserahkan dokumen tambahan berkaitan kedudukan Najib yang kekal sebagai Ahli Parlimen Pekan, buat masa ini.

Beliau berkata, dokumen tambahan itu antara lain mengandungi surat daripada Tetuan Shafee & Co. bertarikh 7 September lalu mengenai permohonan Semakan Jenayah (Review) menurut Kaedah 137 Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 kepada Mahkamah Persekutuan.

Najib sedang menjalani penjara 12 tahun dan denda RM210 juta di Penjara Kajang dalam kes dana SRC International Sdn. Bhd. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya