PETALING JAYA: Penulis tanah air disaran merebut peluang meningkatkan tahap ekonomi menerusi pemasaran hasil karya dengan menjadi ahli Koperasi Penulis Nasional (Kopena).
Pengerusi Kopena, Mokhtar Omar berkata, visinya adalah untuk untuk mempelbagai dan menyediakan perkhidmatan yang efektif, berdaya maju, mesra dan amanah berlandaskan prinsip dan amalan koperasi.

“Ini akan tercapai dengan sokongan komuniti penulis daripada pelbagai genre dan moga sokongan dan penglibatan penulis generasi baharu dan lama seluruh negara akan memartabatkan dunia penulisan tanah air ke suatu tahap yang membanggakan.
“Misi utama kami adalah untuk menjadi koperasi pilihan utama komuniti penulis, anak seni serta pemain industri buku dan seni tempatan,” katanya dalm kenyataan akhbar,
Beliau berkata, Kopena juga akan menumpukan perhatian kepada industri perbukuan termasuk penerbitan, penjualan dan pengedaran buku, e-buku dan komik serta program latihan dan bimbangan dalam bidang penulisan.
“Kami berharap dapat melahirkan komuniti penerbit, penjual, pengedar dan penulis yang dapat menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.
“Kopena yang diluluskan pendaftarannya pada 14 Ogos lepas, kini mempunyai 100 ahli berdaftar,” katanya.- UTUSAN










