SEREMBAN: Golongan belia diingatkan supaya tidak menjadikan lesen memandu motosikal B2 yang diperoleh menerusi Program MyLesen B2 sebagai ‘tiket’ untuk berlumba atau melakukan aksi berbahaya di jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, matlamat utama program itu adalah memastikan lebih ramai anak muda, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), memiliki lesen memandu secara sah di samping memahami aspek keselamatan dan menjadi pengguna jalan raya yang lebih bertanggungjawab.
Menurutnya, pemilikan lesen bukan sekadar memenuhi syarat undang-undang, sebaliknya memberi pendedahan kepada penunggang mengenai teknik tunggangan yang selamat serta tanggungjawab ketika berada di jalan raya.
“Kita mahu memastikan pelajar-pelajar yang menggunakan motosikal ke sekolah mempunyai lesen memandu. Sebelum ini kita dapati masih ramai pelajar membawa motosikal tanpa lesen dan keadaan itu sangat berbahaya.
“Harapan kita ialah setiap anak muda yang menunggang motosikal mempunyai lesen B2 supaya mereka mengetahui aspek keselamatan ketika menunggang dan membonceng motosikal,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Sembilan 2026 di Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Seri Jana Santhiran Muniyan dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.
Program MyLesen merupakan inisiatif kerajaan menerusi JPJ bersama rakan strategik bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40), termasuk pelajar, mendapatkan lesen memandu motosikal Kelas B2 secara sah, mudah diakses dan berpatutan.
Dalam pada itu, Siew Fook berkata, penunggang dan pembonceng motosikal kekal menjadi kumpulan paling berisiko dalam kemalangan jalan raya apabila kira-kira dua pertiga daripada kes kemalangan maut melibatkan golongan berkenaan, dengan kecuaian manusia serta sikap tidak berhemah ketika menunggang dikenal pasti antara faktor utama.
“Ini satu misi jangka panjang. Kita tidak boleh melihat hasilnya dalam masa yang singkat, sebaliknya perlu konsisten melalui pendidikan, advokasi, penguatkuasaan dan perundangan.
“Keselamatan jalan raya tidak boleh bergantung kepada undang-undang semata-mata. Pendidikan dan kesedaran juga amat penting, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan sedang memperkukuh aspek penguatkuasaan menerusi pindaan undang-undang yang membolehkan individu yang didapati berlumba di jalan raya melibatkan lebih daripada dua kenderaan didakwa di mahkamah atas kesalahan jenayah dan tidak lagi hanya dikenakan kompaun.
“Undang-undang baharu ini akan dibawa ke Dewan Negara bulan depan sebelum diwartakan.
“Bagaimanapun, MOT dan JPJ akan terus mempergiat usaha advokasi serta pendidikan kerana perubahan sikap pengguna jalan raya tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang semata-mata,” katanya. – UTUSAN







