KUALA LUMPUR: Malaysia tidak melihat situasi di Laut China Selatan dengan kebimbangan yang berlebihan, sebaliknya terus mengutamakan pendekatan dialog dan penglibatan konstruktif dan berterusan dalam menangani sebarang isu yang timbul di kawasan berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu berdasarkan pengalaman Malaysia yang terus mengekalkan hubungan baik serta saluran komunikasi terbuka dengan China meskipun terdapat pertikaian maritim di kawasan berkenaan.
Katanya, Malaysia sentiasa membangkitkan isu Laut China Selatan secara terus terang dengan kepimpinan tertinggi China tanpa menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Saya secara peribadi tidak berkongsi kebimbangan melampau mengenai potensi ancaman di Laut China Selatan. Ya, memang ada beberapa isu, namun setakat ini pendirian dan pengalaman Malaysia menunjukkan bahawa kita mengadakan perbincangan yang sangat bermakna dengan China.
“Saya sendiri telah membangkitkan perkara ini kepada Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri China, Li Qiang namun hubungan antara kedua-dua negara kekal amat baik. Tiada satu pun isu besar yang mencetuskan ketegangan,” katany ketika sesi soal jawab dalam Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik Ke-39 di sini, hari ini.
Anwar berkata, China turut menyatakan sokongan terhadap Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) serta rundingan Kod Tatalaku Laut China Selatan antara ASEAN dan China yang sedang berlangsung.
Katanya, kedua-dua mekanisme itu perlu terus dijadikan panduan dalam usaha mencari penyelesaian secara aman terhadap pertikaian di Laut China Selatan.
Beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu dipengaruhi oleh naratif yang menggambarkan peperangan di rantau ini sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
“ASEAN perlu terus berpegang kepada pendekatan diplomasi dan libat urus, manakala Malaysia bersama-sama blok serantau itu akan terus memperjuangkan pembaharuan institusi pelbagai hala di peringkat global termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
“Keupayaan ASEAN mengekalkan keamanan selama beberapa dekad adalah hasil hubungan erat dalam kalangan pemimpin negara anggota yang sentiasa berkomunikasi secara langsung bagi menyelesaikan sebarang perbezaan sebelum ia menjadi lebih serius,” katanya.
Mengenai perkembangan pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand, Anwar menyambut baik komitmen kedua-dua negara meneruskan rundingan dan menyifatkan kebanyakan pertikaian sempadan di rantau ini berpunca daripada legasi sejarah era penjajahan.
Beliau yakin dialog berterusan dan kepercayaan bersama, membolehkan kedua-dua negara mencapai penyelesaian secara aman terhadap pertikaian tersebut.- UTUSAN










