KOTA TINGGI: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili, Muszaide Makmor berhasrat membawa kawasan itu ke fasa pembangunan baharu dengan menjadikan usaha menjana ekonomi rakyat sebagai keutamaan.
Menurut penyandang kerusi itu, antara perancangan diberi perhatian ialah pembangunan kilang sawit bersepadu yang dijangka membuka lebih 200 peluang pekerjaan sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan Sedili.
Katanya, usaha meningkatkan ekonomi penduduk turut digerakkan melalui kerjasama dengan Ahli Parlimen, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi pelbagai projek pertanian dan akuakultur.
“Projek pembenihan ikan, ketam nipah dan udang galah masing-masing dilaksanakan di Sungai Sedili Kecil serta Sungai Sedili Besar antara inisiatif yang mampu membuka peluang pendapatan baharu kepada masyarakat setempat.
“Semalam, saya ke Aping Timur dan mereka juga berharap projek seperti ini dapat diperluaskan di kawasan Felda bagi memberi peluang kepada generasi kedua menambah pendapatan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Muszaide bakal dicabar bekas ADUN Sedili tiga penggal, Rasman Ithnain yang mewakili Perikatan Nasional (PN) serta calon Pakatan Harapan (PH), Amirul Husni Onn dalam saingan tiga penjuru.
Pada PRN Johor 2022, Muszaide menewaskan tiga pencabarnya dari PN, PH dan Pejuang apabila meraih 12,063 undi dengan majoriti 5,679 undi.
Mengulas hasrat mempertahankan kerusi DUN Sedili, Muszaide berkata, masih banyak perkara ingin diselesaikan sekiranya beliau diberikan mandat sekali lagi.
Namun katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pengundi untuk menilai prestasi sepanjang hampir sepenggal menjadi wakil rakyat.
“Saya bukan kata saya bagus, tetapi kalau parti tidak melihat saya bekerja mungkin saya tidak dicalonkan semula. Akhirnya rakyatlah yang akan membuat penilaian sama ada saya layak diberi mandat untuk meneruskan usaha yang masih belum selesai,” katanya.
Beliau berkata, sambutan diterima sepanjang kempen turut memberikan keyakinan kepadanya apabila ada pengundi memaklumkan mereka sudah mengenali cara beliau bekerja sepanjang menjadi wakil rakyat.
“Bila saya masuk ke kawasan dalam zon saya, ada orang kampung kata tidak payah ceramah mereka sudah kenal saya.
“Mereka rasa hendak beri peluang lagi kepada saya sebab masih banyak perkara yang belum saya selesaikan,” katanya.
Muszaide berkata, beliau mahu mengekalkan prinsip sama iaitu membantu semua penduduk tanpa mengira latar belakang politik. – UTUSAN










