Pembinaan LCS disambung semula Disember 

Pembinaan LCS disambung semula Disember 

lcs
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) disambung semula sebaik sahaja semua rundingan selesai dan setiap perjanjian dimuktamadkan dalam fasa mobilisasi yang berakhir hujung Disember ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, terdapat perkembangan positif terutama berhubung fasa mobilisasi selama enam bulan bermula Jun sehingga Disember 2022 dengan banyak yang dilaksanakan, malah sebahagian telah selesai.

Beliau berkata, selepas fasa itu selesai, semua pihak terbabit mempunyai tempoh 14 bulan untuk memastikan pembinaan kapal pertama LCS disiapkan dan ia juga perlu berada di permukaan air sebelum menjalani trial seperti ‘Harbour Acceptance Test’ dan ‘Sea Acceptance Trial’. 

“Garis masa ini mesti dipatuhi semua pemegang taruh, khususnya Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) selaku syarikat pembuat. 

“Pembinaan LCS disambung semula sebaik sahaja semua rundingan selesai dan setiap perjanjian dimuktamadkan dalam fasa mobilisasi yang akan berakhir hujung Disember ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Hishammuddin berkata, pelbagai usaha sudah dan sedang dilaksanakan, terutama Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pihak komersial khususnya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan BNSSB ketika fasa mobilisasi dijalankan. 

Beliau berkata, daripada sudut komersial, NSSB sudah selesai mengadakan rundingan dengan 145 vendor tempatan dan 42 pihak pengeluaran produk tulen (OEM) luar negara. 

Katanya, pihak vendor tempatan dan OEM itu juga sudah memberi akujanji untuk menyokong dan bersama BNSSB bagi meneruskan projek ini. 

“Proses penamatan penglibatan ‘orang tengah’ iaitu syarikat Contraves Advanced Devices (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) sedang giat dilakukan. Ini membolehkan BNSSB berunding dengan OEM dan vendor secara terus tanpa perlu lalui CAD dan CED.

“BNSSB juga sedang giat berunding dengan sembilan institusi perbankan bagi tujuan penstrukturan semula hutang dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh mobilisasi ini. 

“BNSSB juga sedang berunding dengan Naval Group dari Perancis berkaitan rekaan terperinci. Pihak Naval Group akan hantar pasukan teknikalnya untuk melakukan audit terhadap rekaan terperinci tersebut pada bulan ini,” katanya. 

Tambah Hishammuddin, daripada sudut antara kerajaan dengan kerajaan pula, wakil Perancis sudah datang bertemunya dan menyerahkan komitmen bertulis menyatakan usaha menerus dan menyelesaikan projek LCS menjadi keutamaan negara itu.

“Ini perkembangan yang mustahak serta amat membantu memandangkan majoriti Naval Group dimiliki oleh Perancis. Secara keseluruhannya, semua pihak daripada kerajaan mahupun komersial memainkan peranan masing-masing dengan sangat baik terutama di fasa mobilisasi ini,” katanya. 

Jelas beliau, laporan proses rundingan di fasa mobilisasi akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri secara berjadual seperti diarahkan Kabinet. 

Dari sudut struktur pemantauan, beliau berkata, segala proses di fasa mobilisasi, ia dilaksanakan secara rapi oleh perunding pengurusan projek (PMC). 

“Ia dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan di bawah PMC ini juga terdapat Jawatankuasa Teknikal LCS yang bermesyuarat setiap dua minggu sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, sementara menunggu LCS siap sepenuhnya, TLDM sudah memohon perolehan Littoral Mission Ship (LMS) kumpulan kedua yang dilengkapi persenjataan lebih menyeluruh. 

Katanya, kementerian juga sudah membuat permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri untuk melaksanakan perolehan ini. 

“Kesimpulannya, semua pihak tidak menoleh ke belakang lagi sebaliknya sedang berusaha bertungkus-lumus demi memastikan TLDM dapat memiliki aset yang diperlukan ini. 

“Dalam masa yang sama, MINDEF juga akan terus memberi kerjasama penuh kepada apa jua siasatan yang sedang dilaksanakan badan berkuasa ketika ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya