Pembeli Pangsapuri Taman Sri Molek Perdana pertimbang saman

Pembeli Pangsapuri Taman Sri Molek Perdana pertimbang saman

KERATAN laporan Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pembeli Pangsapuri Taman Sri Molek Perdana, Pasir Gudang di sini mempertimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kerana sudah bosan menunggu penyerahan isu kunci rumah yang belum diselesaikan.

Seorang pembeli, Roslylee Abu Bakar, 54, berkata, mereka sudah muak dengan pelbagai janji manis yang diberikan dan kini masanya mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

Katanya, penderitaan ditanggung mereka bukan setahun dua tetapi berlarutan sehingga 12 tahun, bahkan suaminya sudah meninggal dunia dalam tempoh menunggu itu.

“Rumah ini dibeli arwah suami dan pembayaran dibuat sejak November 2010, iaitu sebanyak RM800 sebulan hingga kini. Jika tidak bayar, bank akan senarai hitam nama pembeli.

“Keadaan lebih perit apabila perlu menyewa rumah lain dengan sewa RM750 sebulan di Kampung Melayu. Ini membebankan saya yang sudah tidak bekerja, terpaksa bayar untuk dua rumah setiap bulan,” katanya selepas bersama-sama pembeli pangsapuri tersebut menyerahkan memorandum kepada wakil SPNB di Menara Tabung Haji, di sini semalam.

Projek itu mula dibina pada 2010 dan dijadualkan siap pada Mei 2013, mempunyai keluasan 8.5 hektar dengan 972 unit kediaman meliputi enam blok yang dijual dengan harga antara RM50,000 dan RM250,000 sebuah.

Bagaimanapun, projek dikendalikan SPNB itu tidak disiapkan sehingga memaksa pembeli mengadakan beberapa sidang akhbar antara 2017 hingga Julai lalu bagi mendesak pihak terbabit serta pemaju menyiapkan rumah tersebut.

Projek itu sudah tiga kali bertukar tangan pemaju bermula dengan SPNB sebelum dijual kepada syarikat pemaju swasta, Cosmic Master Development Sdn. Bhd. pada 2015 dan kini bertukar tangan kepada subkontraktor syarikat Hong Xin.

Pada Julai lalu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor dilaporkan berkata, kunci akan diserah secara berperingkat-peringkat mulai Ogos lalu membabitkan Fasa Dua, iaitu Blok A, B dan C namun hingga kini tiada penyerahan dibuat.

Roslylee berkata, mereka turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan untuk melihat sama ada terdapat unsur rasuah dalam projek itu.

Seorang lagi pembeli, See Sock Chin, 50, berkata, pihak bertanggungjawab perlu mengambil serius perkara tersebut selain mengambil kira kesusahan yang dialami pembeli melakukan bayaran bulanan sedangkan rumah tidak disiapkan.

Sock Chin yang merupakan orang kurang upaya (OKU) berkata, dia berdepan masalah kewangan untuk membayar ansuran rumah selain membayar rumah sewa dengan pendapatan sebagai operator kilang.

“Saya bayar ansuran rumah ini RM221 sebulan sejak 2013 hingga kini dan juga terpaksa bayar rumah sewa RM350 sebulan di Taman Johor Jaya,” katanya.

Ramli Yusof, 38, pula melahirkan perasaan kecewa setelah pihak terbabit memberi harapan dan janji palsu setiap kali pembeli mahukan jawapan mengenai situasi yang dialami.

“Setiap hujung tahun pemaju dan SPNB beri pelbagai janji yang tidak pernah ditepati. Kami sudah menggunakan semua saluran yang ada untuk menyuarakan masalah ini termasuk kepada menteri terbabit tetapi tidak selesai.

“Pembeli sudah buntu mencari jalan penyelesaian, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan kerajaan negeri sudah beberapa kali bertukar tapi masalah ini tidak pernah selesai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya